ALOR GAJAH – Remaja berusia 19 tahun dipercayai ibu kepada bayi yang rangkanya ditemukan ditanam di depan rumah keluarganya di Kelemak di sini bersama teman lelakinya antara lima individu yang akan direman esok bagi membantu siasatan kes tragis itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, turut ditahan adalah ibu, kakak dan adik lelaki remaja terbabit yang akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.

“Ya, seramai lima suspek berusia 16 hingga 40 tahun akan direman esok bagi membantu siasatan kes.
“Mereka ialah remaja perempuan berusia 19 tahun dipercayai ibu bayi, teman lelakinya, selain ibu, kakak dan adik lelaki remaja perempuan berkenaan berusia 16 tahun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya dalam satu kenyataan malam ini,” tambahnya.

Dzulkhairi turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan penemuan rangka bayi dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu yang ditanam di hadapan rumah ibunya di Kelemak.
Kisah tragis itu sekali gus menggemparkan penduduk setempat ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette
















