ALOR GAJAH – Kegembiraan seorang lelaki menziarahi rumah kakaknya sempena Aidilfitri di Kelemak di sini dikejutkan kes penemuan rangka bayi yang baru dilahirkan, dipercayai ditanam di hadapan rumah keluarganya sejak empat bulan lalu.
Menurutnya, dia tidak menyangka kehadiran pasukan forensik polis antara jam 9 hingga 10 pagi itu rupa-rupanya berkait kes tragis di rumah teres berkenaan.
“Saya datang beraya di rumah kakak, dan terkejut bila dia beritahu ada pasukan forensik datang sebab kes jenayah yang pada mulanya saya sangka kes biasa.
“Terkejut juga bila jiran beritahu polis jumpa rangka bayi yang ditanam kira-kira empat bulan lepas sebaik dilahirkan.
“Saya memang tak sangka sebab kawasan ini biasanya sunyi dan tiada apa-apa kes jenayah besar berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, rumah teres itu terletak berhadapan dengan sebuah rumah kosong.
“Kakak beritahu, anggota polis dilihat menggali tanah di dalam laman rumah berkenaan menggunakan cangkul di rumah itu bagi mencari bahan bukti.
“Selepas beberapa jam, pasukan forensik beredar meninggalkan lokasi lebih kurang pukul 12.30 tengah hari,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan polis menemukan rangka bayi dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu yang ditanam di hadapan rumah ibunya di Kelemak.
Kes berkenaan menggemparkan penduduk setempat di saat baru empat hari umat Islam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette
















