KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kekal dipenjara 18 bulan atas kesalahan mencabul kehormatan seorang gadis 19 tahun di pejabat agensi itu di Langkawi, Kedah, 14 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Supang Lian menolak rayuan akhir Zolkapli Long@Mohamad dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah yang mendapati perayu bersalah dan menghukumnya.
Beliau yang bersidang pada 2 Mac lalu bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy sebulat suara mendapati keputusan Mahkamah Tinggi adalah betul dan tidak mewajarkan panel itu untuk campur tangan dan mengubahnya.
Zolkapli, 57, disabitkan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 19 tahun kira-kira pukul 2.45 petang, 20 Oktober 2011 di SSM, Tingkat 1, Pejabat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Mukim Kuah, Langkawi.
Keterangan kes menyatakan, mangsa yang juga saksi pendakwaan kedua (SP2) diminta datang ke bilik perayu atas urusan kerja sebelum dicabul.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 1 Mac lalu, Hakim Muniandy menyatakan, sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, selamat untuk dikekalkan.
Alasan setebal 26 muka surat yang diperoleh MalaysiaGazette hari ini melalui laman web kehakiman menyatakan, Mahkamah Tinggi telah mempertimbang semua bukti keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah Majistret.
Oleh yang demikian, panel itu berpendapat, Mahkamah Tinggi betul ketika memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Panel tersebut berpuas hati bahawa Mahkamah Majistret membebaskan tertuduh tanpa memberi pertimbangan dan penilaian yang sempurna terhadap bukti keterangan yang dikemukakan ketika perbicaraan.
Mahkamah Rayuan mendapati, Mahkamah Majistret tidak menilai dengan betul berhubung dapatan fakta bahawa kehormatan mangsa telah dicabul oleh tertuduh.
Menurut panel itu, Mahkamah Majistret kurang memberikan pertimbangan terhadap fakta berkenaan sebaliknya menekankan keterangan tidak konsisten ditimbulkan ketika perbicaraan, walhal ia tidak material kepada kes pendakwaan.
Oleh yang demikian, panel itu berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi layak memperbetul kesilapan Mahkamah Majistret yang gagal menilai bukti serta kredibiliti saksi-saksi pendakwaan.
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Majistret Langkawi melepas dan membebaskan Zolkapli tanpa memanggilnya membela terhadap pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 13 Oktober 2021 membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengarahkan lelaki itu membela diri.
Pada 24 Februari 2022, Mahkamah Majistret sekali lagi melepas dan membebaskan tertuduh pada akhir pembelaan.
Ekoran itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan dibenarkan pada 12 Mac 2023 yang mana tertuduh disabitkan atas pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Pada 28 Julai 2023, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran terhadap tertuduh untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi.
Kebenaran perlu diperoleh kerana kes tersebut merupakan bidang kuasa asal Mahkamah Majistret yang mana rayuan sepatutnya berakhir di Mahkamah Tinggi.
Pihak pembelaan yang mewakili perayu mengemukakan dua persoalan undang-undang antaranya berkaitan kredibiliti mangsa selain keterangannya di mahkamah yang tidak konsisten berbanding laporan polis yang dibuatnya. – MalaysiaGazette
















