MELAKA – Padah membelasah isterinya yang sedang hamil sebelum melanggar kepala wanita itu dengan motosikal sehingga videonya tular dua minggu lalu, seorang penghantar makanan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dipercayai dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 20 tahun dengan cara menumbuk belakang kepala mangsa.
Tertuduh turut didapati menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan cara menampar muka, memukul kepala dan menolak isterinya sehingga jatuh.
Perbuatan itu dilakukan ketika berada di dalam dan kaki lima sebuah premis pusat karaoke di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.59 pagi dan 4.06 pagi, 15 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM 2,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menghubungi wanita itu yang keluar rumah bersama bayi lelakinya berusia setahun dua bulan.
Ibu mangsa kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis pusat karaoke berkenaan dan mendapati tertuduh bertindak memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring dengan motosikal.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans dan dirawat di Zon Merah dan suspek berjaya ditahan empat hari kemudian.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan sudah insaf dan ibunya juga kini mengalami strok.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira mangsa merupakan isteri tertuduh yang mana tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada wanita itu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Mac lalu.
Hukuman diarah berjalan serentak menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman selama empat bulan.
Pada 16 Mac lalu, tular klip video berdurasi lebih satu minit menunjukkan perbuatan kejam suspek terhadap isterinya itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan. – MalaysiaGazette
















