Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail menunjukkan kenderaan motosikal yang berjaya dirampas selepas pihak polis berjaya membanteras jenayah curi kenderaan dalam satu op Lejang Khas ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju. Foto MOHD ADZLAN, 26 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Wangsa Maju berjaya menumpaskan empat kumpulan yang bergerak aktif mencuri kenderaan berikutan penahanan 21 individu serta merampas 24 buah motosikal menerusi Ops Lejang Khas (Fasa 1).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohamad Lazim Ismail berkata, keempat-empat kumpulan itu ialah Prakash, ICAN, Kobis dan Botak Kuang telah menjalankan kegiatan itu untuk tempoh dua tahun di sekitar Lembah Kelang.

Menurut beliau, tangkapan itu melibatkan 20 lelaki dan seorang wanita berusia di antara 33 dan 50 tahun dan telah direman di antara sehari dan empat hari manakala siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat secara langsung dengan kes yang disiasat.

Ujarnya, lokasi panas kecurian motosikal adalah di sekitar Setapak dan pusat perniagaan dan kawasan penempatan projek perumahan rakyat (PPR) Wangsa Maju dan mereka bukan sahaja penduduk sekitar, malah dari daerah berdekatan.

“Sebanyak 24 kenderaan pelbagai jenis yang dilaporkan hilang berjaya dirampas, lima daripadanya telah diserahkan semula kepada pemilik asal manakala selebihnya diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah untuk tindakan lanjut.

“Kesemua kenderaan itu mencatatkan nilai rampasan RM248,000,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini bagi mengumumkan kejayaan pasukannya membanteras kegiatan curi motosikal di sekitar daerah itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Ismail bercakap kepada media mengenai kejayaan membanteras jenayah curi kenderaan dalam satu op Lejang Khas ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju. Foto MOHD ADZLAN, 26 MAC 2026.

Mohamad Lazim turut berkata, hasil risikan menunjukkan motosikal yang dicuri itu dijual `seketul’ dan ada yang dijadikan alat ganti dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.

Ujarnya, golongan pencuri menjadikan laman sosial Facebook dan orang perseorangan untuk menjual kenderaan curi atau alat ganti berdasarkan permintaan.

Beliau selanjutnya menyatakan, operasi bermula 1 Januari hingga 20 Mac lalu melibatkan dua pegawai kanan polis dan 31 pegawai rendah dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah dengan kerjasama semua balai di bawah pentadbiran Wangsa Maju hasil risikan selama tiga bulan.

Ujarnya, polis turut melaksanakan pemeriksaan menyeluruh melibatkan seramai 4,109 individu, kenderaan (3,157) serta 10 premis bengkel sebagai langkah memastikan keselamatan dan ketenteraman komuniti terpelihara.

“Hasil siasatan juga mendapati beberapa kenderaan yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu serta melibatkan kenderaan yang juga hilang di daerah lain.

“Setakat ini, lima individu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379A, Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Mohamad Lazim berkata, , statistik kes kecurian motosikal di kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju pada tahun lalu melibatkan 322 kes manakala kerugian dianggarkan bernilai RM2.6 juta.

Beliau turut menegaskan operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa selain mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah keselamatan tambahan terhadap kenderaan masing-masing.

Ketika ditanya modus operansi (MO) yang digunakan, jelas beliau, geng curi motosikal ini mengambil kesempatan terhadap kecuaian penunggang terutama `rider’ makanan yang kerap meninggalkan kunci di motor untuk mengambil barang.

“Ada yang tinggal kunci pada motor, kejadian berlaku depan mata saya. Ada pula `rider’ yang tinggalkan telefon bimbit pada motor dan kita berjaya mengesannya.

“Jika perlu buat kunci pendua dan jangan tinggalkan motosikal sewenang-wenangnya di tempat awam. Letakkan motor di tempat selamat yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV),” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast