JOHOR BAHRU – Suspek keenam kes bunuh seorang lelaki warga asing di Southkey di sini pada 14 Mac lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Majistret Chai Ing Hien membenarkan reman terhadap lelaki warga asing berusia 30 tahun itu selepas mendapat permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret di sini pagi ini.
Ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah sama turut membenarkan lanjutan reman selama seminggu iaitu sehingga 1 April ini ke atas empat lagi suspek termasuk seorang wanita yang berakhir hari ini.
Sebelum ini mahkamah sama turut membenarkan tempoh reman ke atas seorang lagi suspek yang berakhir kelmarin dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.
Terdahulu, portal ini melaporkan penahanan lima suspek yang dipercayai melarikan diri ke Singapura selepas diburu polis berhubung kes pembunuhan itu.
Suspek pertama ditahan pada pukul 12.15 tengah malam, 18 Mac lalu ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke republik berkenaan.
Susulan itu, pada pukul 6 petang keesokan harinya, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan polis Singapura selepas dipercayai melarikan diri ke negara tersebut.
Sementara suspek keenam ditahan polis republik itu pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa warga asing berusia 32 tahun dilaporkan maut selepas diserang sekumpulan individu menggunakan senjata tajam, termasuk ditikam di bahagian leher. – MalaysiaGazette
















