KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan selain memberi amaran konflik di Asia Barat susulan serangan Israel ke atas Iran berpotensi menjejaskan bekalan makanan, baja serta harga minyak dan gas di Malaysia.
Katanya pada perutusan khas petang ini, sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan tenaga global memberi kesan langsung kepada ekonomi negara walaupun Malaysia berada dalam keadaan lebih stabil hasil keupayaan Petronas.
“Kesan daripada sekatan dan peperangan ini menjejaskan bekalan minyak dan gas, dan akhirnya memberi tekanan kepada harga.
“Malaysia juga tidak terlepas tempias konflik yang kini turut menjejaskan negara Teluk, selain situasi di Lubnan yang menyaksikan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia konsisten menentang kezaliman serta pencerobohan oleh Israel dan Amerika Syarikat sambil menyifatkan konflik semakin meruncing akibat tindak balas Iran yang turut memberi kesan kepada negara serantau.
Dalam usaha mencari penyelesaian, beliau berkata, Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Iran, Presiden Mesir, Presiden Turkiye serta Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Namun, katanya, usaha damai sukar dicapai kerana Iran berpendirian mereka telah berulang kali dikhianati dan memerlukan jaminan keselamatan yang kukuh.
Pada masa sama, Anwar memaklumkan Malaysia sedang dalam proses membawa pulang kapal minyak dan rakyat negara ini selepas mendapat kerjasama pihak Iran.
Beliau berkata, kerajaan kini mengambil pendekatan menyeluruh bagi menjamin bekalan, termasuk mengurus permintaan secara lebih berhemat.
“Bekalan makanan terjejas, harga akan meningkat, begitu juga baja dan tenaga. Kita tidak boleh anggap Malaysia terlepas daripada semua ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat memahami langkah kerajaan yang disifatkan perlu bagi melindungi kepentingan majoriti.
“Saya mohon rakyat memberi kerjasama kerana langkah ini diambil demi kepentingan bersama,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette















