Logo KWAP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bakal melabur sehingga kira-kira RM190 juta dalam dalam platform usaha sama district cooling, Lestari Cooling Energy Sdn. Bhd. (Lestari Cooling Energy) melalui inisiatif Dana Iklim+, sebagai langkah memperluaskan pembangunan infrastruktur penyejukan daerah yang cekap tenaga di Malaysia.

Lestari Cooling Energy merupakan platform usaha sama penyejukan daerah antara KJTS Group Berhad (KJTS), penyedia penyelesaian penyejukan cekap tenaga dan perkhidmatan pengurusan tenaga bersepadu yang berpangkalan di Malaysia, dan Stonepeak, firma pelaburan alternatif yang mengkhusus dalam infrastruktur dan aset sebenar.

Penambahan KWAP sebagai pelabur bakal mengukuhkan profil Lestari Cooling Energy dan meningkatkan strategi syarikat untuk melabur serta membangunkan aset district cooling dan pengagihan elektrik yang pelbagai, terutamanya di Malaysia.

Sistem district cooling diiktiraf secara global sebagai standard emas untuk kecekapan, mampu mengurangkan jumlah penggunaan tenaga sehingga 50%.

Ia juga menawarkan jejak karbon lebih rendah berbanding kaedah penyejukan tradisional lain.

Ini amat penting di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia, yang mana permintaan terus meningkat berikutan pembandaran industri, inisiatif kecekapan tenaga, dan pembangunan pusat data yang pesat.

“Dengan sokongan KJTS, Stonepeak dan KWAP, Lestari Cooling Energy berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur penyejukan berkecekapan tinggi bagi menyokong sasaran pengurangan karbon negara dan pembangunan bandar jangka panjang,” kata KJTS.

Platform ini dijangka mempunyai permodalan sehingga RM1.5 bilion (~AS$380 juta) melalui gabungan komitmen pelaburan dan pembiayaan hutang, dengan sasaran membangunkan portfolio projek yang semakin berkembang di seluruh negara.

Pada pelaksanaan penuh, platform ini diunjurkan menjana penjimatan lebih daripada 70,000 tan CO₂ setahun, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta aspirasi penyahkarbonan negara.

Selain manfaat alam sekitar, Lestari Cooling Energy menyediakan laluan yang kos efektif dan berskala untuk perniagaan tempatan dan pemilik bangunan mengurangkan kesan kenaikan kos elektrik, iaitu satu cabaran operasi utama.

Impak dwi kemampanan dan ketahanan ekonomi ini sejajar dengan komitmen KWAP di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk memangkinkan pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama dan memperkasakan syarikat
tempatan.

“Gabungan kepakaran infrastruktur global Stonepeak, kehadiran institusi domestik KWAP dan keupayaan operasi KJTS meletakkan perkongsian ini pada kedudukan baik untuk menyampaikan infrastruktur penyejukan jangka panjang yang boleh dipercayai, sejajar dengan objektif kemampanan dan transformasi tenaga Malaysia,” kata Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KJTS. Azura Azman. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast