Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memperjelas mekanisme khas bagi membantu golongan 10 peratus yang terjejas susulan pelarasan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan golongan tersebut bergantung kepada angka dan menyesuaikan diri dengan pelarasan kuota yang diumumkan Perdana Menteri.

“Saya memahami keperluan kerajaan untuk mengurus subsidi secara lebih tersasar dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.

“Namun dalam masa yang sama, keputusan seperti ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bukan sekadar pada angka peratusan tetapi pada realiti kehidupan sebenar rakyat yang berada di sebalik angka tersebut.

“Kerajaan tegaskan langkah ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat, namun apa perancangan kerajaan untuk golongan 10 peratus yang terjejas ini?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Akmal mengulas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelarasan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, dengan penegasan bahawa langkah ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat.

Menurut Akmal, golongan 10 peratus yang terjejas kehidupannya bukan golongan kaya dan terpaksa hidup dengan pilihan yang terhad.

“Mereka ini real people, rakyat yang terpaksa duduk di luar bandar kerana sewa di bandar sudah tidak masuk akal, lalu ulang-alik beratus kilometer setiap hari.

“Mereka ini menjadi weekend husband, weekend wife yang berulang-alik merentas negeri demi anak dan keluarga dan bekerja keras ke hulu ke hilir berusaha mencari rezeki bukan untuk mewah tapi hanya untuk cukup,” ujarnya.

Oleh yang demikian menurut Akmal, tambahan 100 liter itu bukan kemewahan sebaliknya ruang bernafas dan apabila ia dipotong, kehidupan akan menjadi lebih tersepit.

“Ini bukan soal 90 peratus vs 10 peratus, sebaliknya ia soal keadilan. Kalau kerajaan betul-betul faham denyut nadi rakyat, mereka akan cakna bahawa dalam situasi seperti ini, yang paling terkesan itu bukan golongan majoriti tetapi minoriti.

“Jangan kita selesa dengan angka. Sebab dalam politik, angka mungkin boleh menenangkan pentadbiran tapi tidak semestinya menenangkan kehidupan rakyat,” ujarnya.

Akmal selanjutnya menjelaskan, selaku Ketua Pemuda UMNO, beliau tidak sesekali mahu menjadikan isu tersebut sebagai tunggangan politik mahupun menjadikannya untuk menangguk di air keruh.

Namun demikian, beliau bersuara kerana tidak mahu wujud kelompongan dalam dasar diumumkan oleh kerajaan sehingga terlepas pandang nasib mereka atau mengabaikannya atas nama `angka dan statistik’,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast