KUALA LUMPUR – Mr R yang dimaksudkan Victor Chin itu adalah Ruben.
Itu dakwa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli malam ini selepas berjanji akan mendedahkan Mr R itu sejak semalam.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, Ruben adalah nama singkatan kepada Sandraruben Neelamagham, seorang peguam.
“Tetapi dalam komunikasi dengan Victor Chin, Mr R sering merujuk kepada “boss” nya.
“Gambarannya jelas bahawa Mr R adalah operator kepada seorang yang lebih berkuasa,” katanya dalam Facebooknya.
Dalam hantarannya Rafizi juga memuatnaik bukti komunikasi Victor dan merumuskan siapa Mr R.
“Ada banyak lagi komunikasi yang saya boleh kongsi, tetapi itu memadai untuk saya membuktikan siapakah Mr R yang dimaksudkan oleh Victor Chin ini.
“Apa maklumat yang kita tahu dari dakwaan-dakwaan Victor Chin ini dan boleh sahkan dari maklumat awam mengenai Mr R?
“Mr R ialah operator kepada bossnya, bos nya berada di satu pihak yang dipanggil mafia korporat oleh Victor yang dituduh cuba merampas saham-saham NexG dengan menggunakan tekanan dari pihak berkuasa.
“Ini bermakna boss nya ada pengaruh dengan kerajaan,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, Mr R ialah seorang Penasihat Korporat NexG dan Pengarah Eksekutif HighTech Padu.
“Dengan maklumat ini, kita dah boleh tentukan siapa Mr R.
Semakan dengan pengumuman-pengumuman di Bursa Malaysia menunjukkan individu yang merupakan seorang Penasihat Korporat NexG dan Pengarah HighTech Padu adalah seorang peguam bernama Sandraruben Neelamagham (Ruben),” katanya.
Sebelum itu, Rafizi semalam berkata, ada isu berbeza mengenai isu ahli Parlimen PKR yang dituduh menerima RM9.5 juta dari Victor Chin untuk kawtim kes mafia korporat cuba ambil alih NexG.
“Saya dah terangkan semalam – berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Victor Chin sendiri, kita boleh simpulkan ahli Parlimen ini mestilah seorang yang berjawatan kanan dalam PKR, punyai pengaruh dan akses terus kepada Perdana Menteri dan Farhash.
“Satu lagi isu ialah mengenai Mr R. Kenapa tiba-tiba media melaporkan mengenai Mr R? Kerana menurut Victor Chin, Mr R menjadi orang tengah, operator atau juru komunikasi di antara geng mafia korporat dengan pemegang-pemegang saham NexG yang ditekan pihak berkuasa untuk memberikan saham mereka secara percuma kepada geng mafia korporat ini,” katanya.
Rafizi juga mendakwa bos kepada Ruben adalah Farhash Wafa Salvador.
“Jadi kita boleh rumuskan, daripada dakwaan-dakwaan Victor Chin, laporan media dan maklumat-maklumat di Bursa, Victor Chin mendakwa bahawa boss Mr R adalah Farhash.
“Persoalan yang lebih besar ialah dakwaan-dakwaan dari komunikasi antara Victor Chin dan Ruben, iaitu boss nya, atau dari deduksi Farhash, mempunyai pengaruh untuk mengarahkan tindakan pihak berkuasa untuk menekan pemegang saham NexG, dan juga Farhash berkemampuan meyakinkan Perdana Menteri untuk memberikan kontrak berbilion ringgit kepada NexG.
“Yang ini, sebaiknya Perdana Menteri bagi respon. Saya dah tunaikan janji saya untuk dedah siapa Mr R,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















