KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan individu dikenali sebagai ‘Mr R’ tidak merujuk kepada mana-mana Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebaliknya, bekas Timbalan Presiden PKR mendakwa, kekeliruan itu timbul apabila orang ramai membuat andaian sendiri susulan beberapa nama pemimpin parti yang bermula dengan huruf ‘R’.
Beliau berkata, dokumen setebal 40 muka surat yang diedarkan ahli perniagaan, Victor Chin tidak secara langsung menyatakan ‘Mr R’ adalah individu sama dengan Ahli Parlimen PKR yang didakwa menerima RM9.5 juta.
“Mr R itu bukan Ahli Parlimen PKR. Ini dua perkara berbeza, tetapi telah dicampur-adukkan,” katanya dalam rakaman video panjang di media sosial malam tadi.
Menurut Rafizi, spekulasi menjadi liar apabila netizen cuba mengaitkan identiti tersebut dengan beberapa Ahli Parlimen PKR yang mempunyai nama bermula huruf ‘R’.
Beliau menyenaraikan antara nama yang disebut termasuk dirinya sendiri, Rodziah Ismail, R Yuneswaran serta Datuk Seri R Ramanan.
“Bila orang ramai tidak ada akses kepada dokumen penuh, mereka buat andaian sendiri,” dakwanya.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, isu lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta bagi menyelesaikan tekanan daripada agensi penguatkuasaan.
“Saya boleh namakan siapa ‘Mr R’, tetapi isu lebih besar sekarang ialah RM9.5 juta,” katanya.
Rafizi berkata, beliau dan Rodziah telah menafikan penglibatan masing-masing lebih awal bagi meredakan spekulasi, namun polemik semakin panas selepas Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mengadakan sidang media khas semalam.
“Lebih separuh sidang media itu maki saya, bukan jawab isu RM9.5 juta,” katanya.
Beliau kemudian menggariskan, jika dakwaan bayaran itu benar, individu yang terlibat mestilah mempunyai pengaruh besar dalam parti serta akses kepada kepimpinan tertinggi kerajaan.
“Kalau seseorang sanggup bayar RM9.5 juta, ahli Parlimen itu mestilah ada akses kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, serta boleh ‘kawtim’ tekanan daripada agensi penguatkuasaan,” jelasnya.
Rafizi turut memberi bayangan bahawa dalam kalangan Ahli Parlimen PKR, hanya segelintir memenuhi ciri-ciri tersebut, termasuk mempunyai kedudukan kanan dalam parti serta hubungan dengan pihak tertentu dalam konflik korporat melibatkan NexG.
“Dalam PKR, semua orang boleh nilai siapa yang ada ciri-ciri itu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh rekod lampau Ramanan, termasuk kes Mahkamah Tinggi pada 2015 yang mengarahkan beliau membayar RM5.5 juta dalam isu berkaitan urusan dengan Kementerian Pertahanan.
Katanya, walaupun kes itu berbeza, persepsi awam tetap terbentuk dan kini menambah tekanan kepada Ramanan untuk menjelaskan dakwaan semasa.
“Yang perlu yakinkan rakyat bukan saya, tetapi individu yang dituduh itu sendiri,” katanya.
Rafizi turut mempersoalkan mengapa seorang ahli perniagaan sanggup menyerahkan wang tunai sebanyak RM9.5 juta jika tidak yakin terhadap pengaruh individu tersebut.
Menurutnya, tindakan Victor mengeluarkan ultimatum supaya wang itu dipulangkan sebelum 30 Mac memberi gambaran bahawa bukti mungkin wujud.
“Kalau tiada bukti, tidak mungkin berani keluarkan ultimatum begitu,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan kes itu kini dilihat menuju dua kemungkinan sama ada identiti ahli Parlimen tersebut didedahkan secara terbuka atau isu berkenaan ‘senyap’ jika wang dipulangkan.
“Kalau senyap, kita tahu apa maksudnya,” katanya.
Dalam nada sinis, Rafizi berkata, beliau akan mendedahkan identiti ‘Mr R’ hari ini.
“Esok (hari ini) saya dedahkan siapa ‘Mr R’. Sekarang ini masih mood raya, saya balik beraya sekejap,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















