Program Jom Jadi Saintis! yang dianjurkan Universiti Sains Malaysia (USM) di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam

KEPALA BATAS – Seramai 354 murid Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam berpeluang mendekati dunia sains menerusi program Jom Jadi Saintis! yang dianjurkan Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Program yang digerakkan oleh saintis dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) itu merupakan sebahagian daripada inisiatif STI 100³ (100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sepanjang program, pelbagai aktiviti interaktif disediakan termasuk lebih 12 stesen eksperimen yang memberi pendedahan asas dalam bidang fizik, tenaga, bahan serta sains perubatan.

Antara stesen eksperimen di program Jom Jadi Saintis!

Pegawai Sains PKTAAB, Nursyatina Abdul Raof berkata, objektif utama program tersebut adalah untuk menyemai minat dan rasa ingin tahu terhadap sains dalam kalangan murid.

“Kita tidak mengharapkan mereka terus menjadi saintis, tetapi jika mereka pulang dengan semangat ingin tahu yang lebih tinggi, itu sudah cukup bermakna,” katanya.

Program tersebut memberi ruang kepada murid untuk mencuba sendiri eksperimen, sekali gus membantu mereka memahami konsep sains dengan lebih mudah dan menyeronokkan.

Guru Besar sekolah turut menyambut baik inisiatif berkenaan dan menyifatkannya sebagai peluang berharga kepada murid yang kurang mendapat pendedahan terhadap bidang sains.

Inisiatif seperti ini diharap dapat terus memperkasa minat generasi muda terhadap bidang sains serta melahirkan lebih ramai bakat baharu pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast