KUALA LUMPUR – Dua individu menafikan dakwaan terlibat dalam kegiatan peras ugut seperti tular menerusi satu video di laman Facebook.
G. Paartiydasan menegaskan, kehadiran mereka di premis rumah urut berkenaan hanyalah bagi tujuan pemantauan dan laporan polis berkaitan penyebaran rakaman itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam.
Katanya, penafian dibuat susulan penularan video daripada laman Facebook “Kelab Penyokong Perikatan Nasional” yang disertakan kapsyen mendakwa dua individu telah melakukan peras ugut di sebuah premis rumah urut di Wangsa Maju.
“Dakwaan yang dibuat oleh pentadbir laman berkenaan adalah tidak berasas serta cuba mengaitkan mereka dengan tuduhan serius tanpa bukti.
“Mereka menjelaskan bahawa kawasan berkenaan mempunyai hampir puluhan premis rumah urut yang beroperasi, sekaligus menjadi tanggungjawab mereka, khususnya sebagai Pengerusi MPP Sub Zon 6, untuk menjalankan pemantauan, siasatan dan membuat laporan sekiranya terdapat aktiviti menyalahi undang-undang.
“Lawatan tersebut hanyalah rutin pemantauan dan tidak lebih daripada itu,” katanya dalam kenyataan bersama seorang lagi rakannya di dalam video berkenaan R. Vijeyndran.
Pada masa sama, mereka turut mempersoalkan bagaimana pihak yang menyebarkan video berkenaan boleh memperoleh akses ke dalam premis serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain mempersoalkan tujuan sebenar penyebaran video tersebut di media sosial.
Mereka turut mengalu-alukan Pejabat Menteri Wilayah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan premis-premis rumah urut di kawasan tersebut berlesen dan bebas daripada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
Tambahnya, tindakan undang-undang juga sedang dipertimbangkan terhadap pihak yang menyebarkan video serta membuat fitnah kerana menganggap dakwaan yang dilemparkan disifatkan tidak adil, tidak berasas dan berniat jahat. – MalaysiaGazette















