Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR — Kenaikan harga minyak dunia ketika ini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat terhadap kemungkinan kerajaan menarik balik subsidi RON95.

Pengerusi Persatuan Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, perkara itu jika berlaku bakal memberi kesan langsung kepada kos sara hidup khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang masih bergelut dengan tekanan ekonomi pasca pandemik.

Pada masa sama katanya, keputusan kerajaan yang dilihat enggan mempertimbangkan penyaluran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Akaun 3 turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pencarum.

“Akaun tersebut sebelum ini diperkenalkan bagi memberikan fleksibiliti kewangan kepada rakyat dalam menghadapi keperluan mendesak, namun tanpa suntikan dividen yang signifikan, matlamat asalnya dikatakan sukar dicapai.

“Pemerhati berpendapat gabungan kedua-dua isu ini berpotensi mencetuskan tekanan berganda kepada rakyat.

“Kenaikan harga bahan api dijangka meningkatkan kos pengangkutan dan harga barangan, manakala akses kewangan yang terhad melalui KWSP pula mengehadkan keupayaan rakyat untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya dalam kenyataan.

Shahir Adnan

Sehubungan itu Shahir menegaskan, beberapa cadangan dikemukakan agar kerajaan mempertimbangkan langkah proaktif dalam menangani kebimbangan rakyat.

Antaranya kata beliau termasuk memberikan jaminan jelas dan telus mengenai status subsidi RON95 bagi mengelakkan spekulasi, selain memastikan sebarang rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara bersasar agar tidak menjejaskan golongan rentan.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga disaran menilai semula pendekatan terhadap Akaun 3 KWSP dengan mempertimbangkan penyaluran dividen atau insentif tambahan bagi meningkatkan manfaat kepada pencarum.

“Pada masa sama, dasar yang dirangka perlu seimbang antara keperluan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat.

“Rakyat tidak seharusnya terus dibebankan dengan keputusan dasar yang dilihat tidak menyebelahi mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, keutamaan kerajaan haruslah tertumpu kepada melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan setiap dasar yang dilaksanakan bersifat inklusif, adil dan berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast