SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan akan mengadakan rundingan dengan semua Kerajaan Negeri termasuk negeri diperintah pembangkang bagi mencari jalan penyelesaian kepada kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara pada minggu hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu semua kepimpinan negeri dilibatkan terutamanya langkah-langkah penyelesaian dicapai secara bersama.
“Minggu depan Insya-Allah saya akan panggil pertamanya semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier untuk memaklumkan supaya penyertaan semua negeri tak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
“Saya sedang rencana untuk memanggil juga semua pemimpin parti, kalau boleh berunding dan mendengar sendiri taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“(Pertemuan untuk merangka) langkah-langkah yang harus kita ambil bersama supaya kita dapat tangani (bekalan minyak) ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Perdana Menteri juga berkata, rakyat perlu bersyukur kerana gangguan bekalan minyak petrol dan diesel Malaysia tidak seteruk negara-negara jiran lain.
“Ia tidak serumit yang dihadapi lebih banyak negara jiran, belum ada catuan, belum ada kenaikan mendadak RON95, kemudian minyak masuk dapat jamin sehingga Mei,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatnya, Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian kerana sedia bertolak ansur untuk melepaskan kapal-kapal minyak negara.
“Saya juga ambil kesempatan ucap terima kasih kepada Presiden Iran dalam perbincangan saya semalam di mana beliau telah mengarahkan supaya melepaskan kapal-kapal minyak Petronas dan syarikat Malaysia melepasi Teluk Hormuz,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















