KOTA TINGGI – Keputusan untuk menarik balik penugasan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan tertakluk sepenuhnya kepada mandat misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai pasukan pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebarang tindakan termasuk aspek operasi, pergerakan dan penugasan anggota tidak boleh dibuat secara unilateral oleh Malaysia.
“Kita tertakluk kepada PBB kerana apabila kita menyertai misi ini, struktur pemerintahan dan keputusan operasi berada di bawah UNIFIL.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri termasuk menarik keluar pasukan tanpa melalui proses yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek JanaVeteran di Felda Air Tawar, Telok Sengat, di sini hari ini.
Mohamad Khaled mengulas situasi semasa di Lubnan yang menyaksikan beberapa insiden melibatkan pertemuan tidak dirancang antara anggota MALBATT dan pihak lain, termasuk pasukan Israel Defense Forces (IDF).
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada sebarang insiden buruk berlaku setakat ini dan keadaan masih terkawal.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.
“Jika situasi memerlukan, kita boleh mengambil langkah seperti mengehadkan pergerakan atau mengarahkan anggota berada di dalam kubu (bunker), namun semuanya perlu selaras dengan garis panduan UNIFIL,”jelasnya.
Ketika ini katanya, lebih 500 anggota MALBATT ditempatkan di Lubnan sebagai sebahagian daripada misi pengaman antarabangsa.
Tegas beliau, walaupun tertakluk kepada mandat antarabangsa, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan.
Terdahulu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, tiada anggota MALBATT 850-13 yang cedera dalam beberapa insiden letupan yang dilaporkan berlaku berhampiran kawasan operasi UNIFIL di selatan Lubnan.
Beliau berkata, insiden berkenaan berlaku susulan ketegangan antara IDF dan Hezbollah di kawasan terbabit.- MalaysiaGazette
















