Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hadir ke Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026

PONTIAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin  tidak mahu terburu-buru untuk bertanding di Parlimen Johor Bahru atau Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menegaskan, keutamaan ketika ini hanyalah untuk kembali sebagai ahli biasa.

“Saya minta jadi ahli biasa dulu. Yang lain kemudian. Ini perjalanan pulang ke parti, tak perlu terburu-buru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Datuk Mohd Sumali Reduan di Jalan Parit Ismail, Benut di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Khairy berkata, kehadirannya ke program berkenaan adalah jemputan pertama yang dihadirinya selepas membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam parti UMNO.

“Beliau (Sumali) antara orang penting yang bawa saya pulang ke UMNO, beliau telah menyusun perjumpaan antara saya dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jadi saya amat berterima kasih kepadanya.

“Saya telah kenal beliau sejak zaman Pemuda UMNO lagi, beliau adalah setiausaha kerja Pemuda UMNO ketika saya menjadi Ketua Pemuda UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertunangannya dengan Bella Astillah dan mendoakan yang terbaik buat pasangan tersebut.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast