GENEVA, Switzerland – Trak yang membawa penghantaran besar coklat KitKat milik Nestle dilaporkan dicuri ketka dalam perjalanan di Eropah.
Rompakan itu berisiko menyebabkan kekurangan bekalan di kedai menjelang sambutan Easter, kata Nestle.
KitKat, yang dimiliki gergasi makanan Switzerland itu, mengesahkan dalam kenyataan kepada AFP pada Sabtu memaklumkan “sebuah trak yang membawa 413,793 unit rangkaian coklat baharu telah dicuri semasa dalam transit di Eropah”.
Penghantaran seberat kira-kira 12 tan itu dilaporkan hilang minggu lalu ketika dalam perjalanan antara lokasi pengeluaran dan pengedaran.
“Kami sentiasa menggalakkan orang ramai untuk ‘berehat seketika’ dengan KitKat. Namun nampaknya pencuri mengambil mesej itu terlalu literal dan ‘berehat’ dengan lebih 12 tan coklat kami,” kata jurucakap jenama itu, merujuk kepada slogan terkenal mereka.
Jenama itu memberi amaran “kecurian ini mungkin menyebabkan kekurangan KitKat di pasaran”, sambil mengakui pengguna mungkin sukar mendapatkan coklat kegemaran mereka menjelang Easter.
Trak yang dicuri itu berlepas dari tengah Itali dan dalam perjalanan ke Poland, dengan rancangan untuk mengedarkan produk tersebut ke beberapa negara sepanjang laluan.
Syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi tepat kehilangan itu, tetapi menyatakan “kenderaan dan muatannya masih belum ditemui”.
“Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa tempatan dan rakan rantaian bekalan,” katanya.
Ia turut memberi amaran bahawa coklat yang hilang itu “berkemungkinan memasuki saluran jualan tidak rasmi di pasaran Eropah”.
Menurutnya, produk yang dicuri boleh dikesan melalui kod kelompok unik pada setiap bar coklat.
“Jika padanan ditemui, pengimbas akan menerima arahan jelas untuk memaklumkan kepada KitKat, yang seterusnya akan berkongsi bukti sewajarnya,” katanya. – Agensi
















