KUALA LUMPUR – Tujuh puluh lapan pesalah yang melakukan kesalahan pembuangan sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).
PKM dilaksanakan secara serentak di enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan, dan Johor, semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selaras dengan visi Kerajaan Madani “Malaysia Bersih, Rakyat Sejahtera,” penguatkuasaan tersebut merupakan strategi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras amalan pembuangan sampah di merata-rata tempat dan jalan awam.
Menurut beliau, tabiat membuang sampah kecil ini jika tidak dibendung akan menyumbang kepada masalah besar seperti longkang tersumbat yang menjejaskan keselesaan komuniti setempat dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan bandar.
“Kerajaan berhasrat untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar secara bersama. Jangan kita buang puntung rokok, tisu, atau tin minuman di merata-rata tempat kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar, malah menjatuhkan imej negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perintah khidmat masyarakat ini menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan menyeluruh merangkumi siar kaki, jalan awam, sistem saliran (scupper drain), tandas awam, dan kawasan pantai.
Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan MADANI untuk membudayakan pengurusan sisa pepejal yang mampan.
Sehingga kini, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh buah negeri di bawah Akta 672, melibatkan 1,058 warganegara tempatan dan 284 warganegara asing.
“Tangan yang membuang sampah, tangan yang perlu membersihkan. Jangan sekali kita buang sampah dan malukan nama keluarga sendiri,”ulas YB KM.
















