Reaksi pemain Manchester United, Carlos Casemiro ketika perlawanan ASEAN All Stars menentang Manchester United yang berkesudahan 1 - 0 pada Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 28 MEI 2025.
LONDON – Inter Miami CF telah membuka rundingan untuk mendapatkan bintang tengah Manchester United, Casemiro secara perpindahan percuma musim panas ini, lapor The Athletic.
Rundingan itu sedang berjalan dengan tawaran awal telah dibuat dan keputusan kini bergantung kepada Casemiro yang dilaporkan berminat untuk berhijrah ke Major League Soccer (MLS).
Casemiro tertarik dengan projek Inter Miami yang turut dibarisi bintang antarabangsa Argenyina, Lionel Messi dan beberapa bintang lain, selain faktor bandar serta cita-cita kelab tersebut.
Pemain antarabangsa Brazil itu juga mempertimbangkan untuk menerima tawaran daripada kelab Eropah dan Arab Saudi, dengan keputusan dijangka dibuat tidak lama lagi.
“Saya masih menikmati masa saya di Manchester, tapi keputusan sudah dibuat dan saya akan meninggalkan kelab ini.
“Kasih sayang daripada penyokong sangat besar dan saya benar-benar yakin dengan keputusan ini. Namun saya masih menikmati setiap detik di sini.
“Saya tahu perlawanan terakhir saya bersama Manchester United nanti akan penuh emosi, dan saya sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya memetik laporan The Athletic.

Januari lalu, Casemiro mengumumkan akan meninggalkan Manchester United pada hujung musim ini selepas kontraknya bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tamat, umum kelab itu.

Dia menyertai United dari Real Madrid pada 2022 dengan yuran £70 juta (RM381 juta) dan setakat ini membuat 146 penampilan bersama kelab, termasuk menjaringkan 21 gol.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu membina reputasi cemerlang bersama Real Madrid apabila meraih lima kejuaraan Liga Juara-Juara.

Casemiro menjaringkan gol pembukaan ketika United menewaskan Newcastle pada final Piala Liga 2023, selain membantu kelab menamatkan saingan liga di tangga ketiga. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast