Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Petronas menafikan penglibatannya dalam perjanjian bekalan bahan api yang melibatkan sebuah unit kerajaan tempatan di Filipina seperti yang dilaporkan media.

Syarikat petroleum negara itu menjelaskan, ia tidak mengetahui tentang, mahupun terlibat dalam sebarang pengaturan sedemikian, dan tidak memasuki sebarang perjanjian atau komitmen berkaitan.

“Tumpuan segera PETRONAS adalah untuk memastikan bekalan bahan api yang boleh dipercayai dan berterusan tersedia untuk Malaysia.

“Ini kekal sebagai keutamaan utama, disokong oleh rangkaian bekalan yang mantap serta penyelarasan rapat dengan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media Filipina melaporkan kerajaan wilayah Davao Del Norte di negara itu merancang untuk mengimport 44 juta liter bahan api dari Malaysia.

Langkah berani itu diambil bagi menjamin bekalan bahan api di wilayah berkenaan susulan ketegangan di Asia Barat yang semakin meningkat.

Gabenornya, Edwin Jubahib mengesahkan rundingan sedang berjalan dengan Petronas bagi perjanjian diesel yang bertujuan menstabilkan ketersediaan bahan api di seluruh wilayah berkenaan.

Bercakap di Bandar Tagum, Jubahib berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, namun butiran penting masih dirahsiakan sementara rundingan diteruskan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast