Tangkap layar rakaman video CCTV kejadian pecah masuk rumah di Chini

KUANTAN – Polis giat mengesan seorang lelaki yang memecah masuk ke kediaman seorang doktor gigi di Kuarters Klinik Kesihatan Chini, Pekan baru-baru ini.

Ia susulan tular rakaman klip video kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial memaparkan tindakan individu terbabit memanjat dinding rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, laporan juga telah dibuat doktor gigi berusia 42 tahun itu kelmarin.

“Kejadian berlaku ketika mangsa meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung sejak 19 Mac lepas.

“Kejadian pecah masuk itu dikesan pada 27 Mac lepas kira-kira jam 12.48 pagi apabila penggera rumah berbunyi dan disedari oleh jiran dan pengawal keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek dipercayai masuk melalui siling rumah kerana terdapat kesan siling pecah di bilik utama dan bilik ketiga rumah terbabit.

Mohd Zaidi berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek merupakan seorang lelaki memakai baju lengan panjang berwarna kelabu, berseluar pendek coklat, berkasut dan memakai topeng.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihak Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian bagi mengumpul bukti-bukti fizikal.

“Rakaman percakapan saksi-saksi juga telah diambil bagi membantu melengkapkan siasatan,” jelasnya.

Mohd Zaidi berkata, jumlah kerugian sebenar masih dalam siastan polis.

Beliau turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai identiti suspek atau kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan melalui pegawai penyiasat di talian 012-7400527, Bilik Gerakan IPD Pekan di talian 09-4221222 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast