Foto Facebook Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris kini berdepan ujian hidup apabila mengidap kanser esofagus iaitu pertumbuhan sel tidak normal pada tiub pemakanan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu disahkan mengidap kanser tahap tiga itu sehari sebelum Ramadan lalu.

Katanya, ketika ini beliau sedang menjalani rawatan kimoterapi yang membataskan pergerakannya gara-gara imun badan yang agak lemah.

“Maaf ya kawan-kawan, tahun ni saya tak dapat hadir jemputan rumah terbuka Aidilfitri. Tengah jalani rawatan kimo, imun badan agak lemah dan doktor nasihatkan elak tempat ramai orang dulu.

“Terima kasih banyak atas jemputan dan ingatan. Insya-Allah ada rezeki kita jumpa nanti,” tulis di Facebook miliknya di sini hari ini.

Meninjau laman media sosialnya itu, beliau turut dikunjungi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mula menerima rawatan pada peringkat awal di hospital.

Mengulas lanjut, Dr Najmil turut memberitahu, beliau telah bersedia untuk menjalani setiap sesi rawatan kimoterapi walaupun menyedari perjalanan itu bukan mudah.

“Ada hari badan terasa sangat lemah, ada masa hati juga diuji. Namun saya percaya setiap ujian yang Allah berikan pasti ada hikmahnya. Rawatan ini adalah sebahagian daripada ikhtiar untuk terus berjuang dan sembuh.

“Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan semua yang tidak putus-putus mendoakan. Doa kalian sangat memberi kekuatan kepada saya.

“InsyaAllah… selagi ada peluang dan harapan, saya akan terus kuat melawan. Mohon terus titipkan doa buat saya,” tulisnya.

Sementara itu, Dr Najmil yang juga bekas Ketua Pengarah Seranta Felcra Berhad pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Beliau menjadi pelajar Malaysia pertama diberi penghormatan dan pengiktirafan membentangkan kajiannya ijazah doktor falsafah (PhD) berkenaan Nano and MicroMachine Process di hadapan anggota Parlimen United Kingdom di London pada 14 Mac 2005.

Memiliki PhD dalam bidang kejuruteraan di Universiti Metropolitan, Leeds, kajian beliau itu berjaya menarik minat Menteri Perindustrian Britain ketika itu, Brian Edden dengan menawarnya membuat pembentangan di House of Common, Westminster.

Malah kajian beliau berkenaan teknologi pengurangan geseran dalam industri pembuatan pernah dianugerahkan The Best Research Of Good Prospect. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast