KUALA LUMPUR – Tidak serik melakukan jenayah, seorang bekas banduan sekali lagi ditahan polis selepas terlibat dalam siri pecah kedai dan premis di sekitar ibu negara menerusi Ops Cas Box baru- baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek lelaki berusia 44 tahun itu kini direman selama tujuh hari sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wangsa Maju menerusi hasil risikan yang dijalankan sejak tahun lalu.
“Siasatan mendapati, suspek melakukan jenayah secara sendirian atau lone ranger, tiada kediaman tetap dan hidup seperti gelandangan, ada masanya dia tidur di masjid bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Suspek yang mempunyai 26 rekod jenayah lampau itu dikesan baru sahaja dibebaskan pada Mac 2025 atas kesalahan serupa namun dia kembali aktif melakukan jenayah terbabit bermula Julai tahun sama.
“Semakan lanjut juga mendapati, suspek dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 30 kes pecah kedai dengan anggaran nilai kerugian berjumlah RM59,546,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, modus operandi suspek dengan menyasarkan premis yang mempunyai pintu cermin dan aktif melakukan kegiatan itu pada waktu tengah malam atau awal pagi bagi mengelak dikesan orang awam.
“Suspek akan cuba menggoncang pintu cermin premis dan sekiranya gagal, dia akan menggunakan batu untuk memecahkan cermin berkenaan sebelum melarikan peti wang tunai (cash box) di dalam kedai tersebut,” jelasnya.
Hasil tangkapan itu katanya, polis berjaya merampas dua buah motosikal yang dilaporkan dicuri di Jinjang dan Dang Wangi serta 11 barangan lain yang digunakan untuk kegiatan jenayah.
“Satu daripada motosikal tersebut ditemui disembunyikan di bawah tangga sebuah bangunan di Muar, Johor dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah di luar kawasan Kuala Lumpur,” katanya.
Berdasarkan pecahan kes menunjukkan suspek paling aktif di Wangsa Maju dengan 11 kes, diikuti Dang Wangi (tujuh), Cheras (enam), Sentul (empat) dan Brickfields (dua).
Sehubungan itu, beliau menasihati pemilik premis supaya meningkatkan langkah keselamatan dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membendung aktiviti jenayah di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette
















