Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR — Kerajaan memberi amaran keras tiada ruang kompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah susulan kemalangan maut yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar di Jalan Raya Barat, Klang semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kehilangan nyawa tersebut amat menyayat hati dan insiden berkenaan bukan sekadar kemalangan biasa sebaliknya satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius kejadian itu dan memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pelaku sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi semalam, mangsa maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

Katanya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke atas kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu terbabit kini direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pindaan undang-undang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa sejak Oktober 2020 dengan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan iaitu penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyegerakan siasatan secara menyeluruh supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan selain berharap mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat jika tertuduh didapati bersalah.

“Kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast