JOHOR BAHRU – Pas Johor akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan berhasrat merampas kerusi DUN Simpang Jeram daripada Parti Amanah Negara (Amanah) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, DUN Simpang Jeram bukan asing bagi Pas kerana merupakan sebahagian kesinambungan kawasan lama Sungai Abong yang pernah dimenangi parti itu sebelum persempadanan semula dilaksanakan.

“Kemenangan tersebut bukan sahaja mencerminkan sokongan rakyat, malah menjadi asas kepada pembangunan serta pengukuhan pengaruh Pas di kawasan ini.

“Dalam sistem demokrasi, mana-mana parti politik berhak memilih kerusi yang ingin ditandingi dan dimenangi. Begitulah juga Pas melalui Perikatan Nasional (PN).

“Menjelang PRN, sasaran Pas jelas. Pas bukan sahaja bersedia mempertahankan DUN Maharani, malah akan berusaha memastikan kemenangan PN di DUN Simpang Jeram,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, usaha untuk memenangi semula DUN Simpang Jeram bukan sekadar strategi politik, tetapi merupakan komitmen untuk mengembalikan mandat rakyat yang pernah diberikan kepada Pas.

Menurutnya, ia juga merupakan gerak kerja yang sedang dan akan terus diperkukuhkan melalui kekuatan jentera, kesepaduan gabungan serta keyakinan rakyat yang semakin matang dalam membuat penilaian.

“Pas Johor kekal fokus, terus bekerja dan melangkah ke hadapan bagi memenangkan PN. DUN Maharani kita pertahankan, Simpang Jeram kita menangkan,” katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Amanah Johor nekad merampas kerusi DUN Maharani daripada Pas pada PRN yang dijangka dalam tahun ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya sudah bersedia menggerakkan seluruh jentera parti bagi menghadapi PRN Johor dan DUN Maharani menjadi sasaran utama.

“Cadangan bertanding di DUN Maharani akan dibincangkan secara rasmi bersama-sama komponen Pakatan Harapan (PH) Johor dalam rundingan pembahagian kerusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” ujar Dzulkefly.

Dalam PRN Johor pada 9 September 2023, calon PH, Nazri Abdul Rahman menang dengan 13,844 undi iaitu majoriti 3,514 undi.

Beliau menewaskan calon PN, Mohd Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, Jeganathan Subramaniam (311 undi), sekali gus mengekalkan kerusi tersebut untuk PH/Amanah.

Sebelum ini, kerusi DUN Simpang Jeram disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merupakan bekas Timbalan Presiden Amanah dan juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast