KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat kos sara hidup serta langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.
Selain itu, taklimat turut menyentuh aspek keselamatan negara meliputi keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan.

Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum langkah berjimat yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam adalah penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap dan berkesan, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Sesi taklimat berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan semasa negara.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda itu berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini. – MalaysiaGazette















