KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal (MEH) memandang serius insiden terbaru melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol serta positif dadah yang telah melanggar penunggang motosikal tidak bersalah.

Setiausahanya, Dr Helmi Ibrahim berkata, ia bukan sekadar kemalangan jalan raya tetapi ancaman nyata terhadap nyawa rakyat.

“Sampai bila kita mahu biarkan perkara ini berulang? MEH menegaskan bahawa pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang adalah satu jenayah berat yang tidak boleh lagi dilayan dengan pendekatan biasa.

“Setiap insiden membuktikan bahawa masih wujud kelemahan dalam aspek pencegahan, penguatkuasaan dan kawalan social,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MEH berpendirian tiada kompromi terhadap pesalah dan tindakan tegas mesti diambil tanpa pengecualian.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan mutlak, bukan pilihan dan budaya mabuk dan penyalahgunaan dadah mesti dibendung secara sistemik,” ujarnya lagi.

Justeru MEH mahu kerajaan perketat undang-undang serta hukuman Termasuk penjara mandatori, denda maksimum dan pembatalan lesen bagi kes serius.

Perhebatkan penguatkuasaan berterusan operasi bersepadu secara agresif di kawasan berisiko tinggi.

“Laksanakan saringan alkohol dan dadah secara meluas dan pendekatan rawak perlu dijadikan standard nasional. Kawal penjualan alkohol dengan lebih ketat, mengurangkan akses dan normalisasi dalam masyarakat,” katanya.

Selain itu, perkukuh kempen kesedaran awam dengan menekankan nilai tanggungjawab, keselamatan dan kepentingan menjaga nyawa.

“Setiap kelewatan bertindak hanya membuka ruang kepada tragedi seterusnya. Negara tidak boleh terus berdepan kehilangan nyawa akibat kecuaian yang boleh dicegah.

“Prinsip menjaga nyawa adalah asas utama dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera. Justeru, tindakan menyeluruh dan tegas mesti dilaksanakan segera.

“Nyawa rakyat tidak boleh digadai dengan kelalaian dan ketagihan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast