KUALA LUMPUR – Bekas pemain import legenda Kedah era ‘Double Treble’ 2007 dan 2008, Nelson San Martin meluahkan keperitan hidup dialaminya selepas berdepan masalah tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan sehingga kini.
San Martin yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman (KDA) FC mendakwa kehidupan hariannya di negara ini terjejas selepas lebih dua bulan tidak menerima bayaran.
Menurutnya, sebelum ini segala usaha menghubungi pihak kelab tidak mendapat sebarang maklum balas selepas kali terakhir beliau menerima sebahagian gaji adalah pada 10 Januari lalu.
“Saya masih berada di Malaysia dan terikat kontrak tetapi seperti ditinggalkan tanpa komunikasi atau sokongan daripada kelab,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
San Martin turut memberitahu, tunggakan gajinya membabitkan kontrak baharu yang ditandatangani pada November 2025 selain masih mempunyai baki bayaran daripada kontrak terdahulu.
Situasi itu menyebabkan beliau berdepan kesukaran untuk memenuhi tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk menyediakan keperluan asas dan membayar sewa rumah.
“Saya kini menjalani kehidupan yang amat sukar selain berdepan isu undang-undang di Chile yang memerlukan perhatian segera. Saya benar-benar terdesak,” katanya.
Sehubungan itu, San Martin berharap pengurusan KDA dapat segera menghubunginya bagi mencari jalan penyelesaian secara baik, selain turut berkongsi kod Touch ‘n Go eWallet miliknya sebagai usaha mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai. – MalaysiaGazette















