KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan serta menyokong usahawan tempatan.
Ini kerana, menurut Perdana Menteri, kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, tegas beliau, dalam mengakui cabaran tersebut, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.
“Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Hakikatnya, ujar beliau, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.
Sehubungan itu, tambahnya, rakyat tidak boleh alpa atau terlalu selesa, sebaliknya mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi.
“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.
“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















