Gambar hiasan. Foto AIZAT ZAINAL, 18 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Anggota MALBATT 850-13 telah diarahkan untuk tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan arahan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tahap keselamatan turut dipertingkat kepada semua kontinjen di kawasan misi berdasarkan situasi semasa di selatan Lubnan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Foto SADIQ SANI, 19 JANUARI 2026

Jelasnya, langkah itu merangkumi pematuhan berterusan kepada prosedur operasi standard (SOP), pengukuhan pelaksanaan Rules of Engagement (ROE), pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan.

Tambah beliau, ia bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara.

“Pada masa ini, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat.

“Keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama kerajaan.

“Segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Indonesia mengesahkan bahawa seorang anggota pengamannya maut, manakala tiga yang lain cedera selepas bedilan artileri tidak langsung mengenai satu pos UNIFIL di selatan Lubnan.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, insiden berkenaan berlaku berhampiran Adchit al-Qusayr pada Ahad malam waktu tempatan (29 Mac), di tengah-tengah permusuhan berterusan antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata di kawasan itu.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan memandang serius perkembangan terkini situasi keselamatan di selatan Lubnan susulan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam melibatkan pasukan pengaman (UNIFIL) termasuk letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr serta insiden letupan Improvised Explosive Device (IED) yang melibatkan kontinjen Indonesia (INDOBATT).

Ujarnya, insiden-insiden itu telah mengorbankan anggota-anggota pengaman serta menyebabkan kecederaan serius kepada beberapa yang lain.

“Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast