KUALA LUMPUR – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini menyaksikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatatkan pencapaian membanggakan.
Bahagian Pendidikan Menengah MARA dalam satu kenyataan berkata, paling membanggakan apabila seramai 80 pelajar MRSM mencatatkan keputusan semua A+ bagi semua subjek berbanding 69 pelajar tahun sebelumnya.
Selain itu, menurutnya, Sebanyak 11 MRSM telah melakarkan peningkatan pencapaian dengan MRSM ATM Bera mencatatkan lonjakan Gred Purata (GP) MRSM tertinggi.
“MARA turut berbangga dengan pencapaian mengikut subjek terutamanya melibatkan subjek Matematik di mana 10 MRSM telah mencatatkan 100 peratus A, manakala 21 MRSM mencatatkan 100 peratus A bagi subjek Pendidikan Islam.
“Subjek Pendidikan Moral, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal & Elektronik, Bahasa Arab, Seni Visual dan Reka Cipta turut mencatatkan peningkatan GP subjek,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, pencapaian MRSM dalam subjek Sains pula menunjukkan keputusan yang cemerlang dengan 42.5 peratus mendapat gred A dalam subjek Fizik, manakala 40.5 peratus dan 37.7 peratus masing-masing dalam subjek Biologi dan Kimia.
Ujarnya, pencapaian mengikut MRSM turut mencatatkan peningkatan ketara dengan lima MRSM mencatatkan GP MRSM di bawah 1.500 iaitu MRSM Tun Ghafar Baba (1.139); MRSM Gemencheh (1.195); MRSM Taiping (1.224); MRSM Pengkalan Chepa (1.254) dan MRSM Kuala Kubu Bharu (1.284).
“Tahniah diucapkan kepada kesemua 7636 calon SPM 2025 dari 57 MRSM yang telah mencatatkan Gred Purata Keseluruhan sebanyak 2.067 terutamanya MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu, Sarawak yang baharu kali pertama mengambil peperiksaan SPM ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah buat pentadbir dan guru-guru MRSM, pihak pengurusan MARA khususnya Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, berdisiplin dan amat cemerlang.
“Semangat kerja berpasukan untuk memastikan kecemerlangan MRSM amat saya kagumi dan hargai.
“Moga Allah SWT merahmati dan memberkati semua dan mencatatkan sebagai pahala jariah sehingga ke hari kiamat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau. – MalaysiaGazette
















