PUTRAJAYA – Pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke Malaysia kini diharamkan sepenuhnya selepas diwartakan sebagai barang larangan import mutlak berkuat kuasa hari ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kenyataan memaklumkan larangan itu dilaksanakan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026], selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967.
Menurut Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Amran Ahmad, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara serta melindungi alam sekitar.
“Pewartaan ini sejajar dengan keputusan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas berkaitan hala tuju pengurusan penguatkuasaan pengimportan sisa plastik dan e-waste dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, JKDM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memastikan penguatkuasaan larangan tersebut dilaksanakan secara tegas.
Katanya, langkah itu juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel dalam mengawal pergerakan sisa berbahaya merentasi sempadan.
Larangan tersebut dijangka dapat mengekang kemasukan buangan terjadual khususnya e-waste yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar negara. -MalaysiaGazette
















