BARU-baru ini, tular di aplikasi Threads luahan beberapa orang peminjam PTPTN berkenaan kadar pinjaman PTPTN yang tinggal setelah dipotong oleh pihak universiti. Ramai yang menyaksikan hanya RM100 berbaki dalam akaun setelah universiti “menyedut” ribuan ringgit bagi tujuan yuran.
Perkara ini kelihatan normal sekiranya dilihat secara silo. Namun apabila kita mengambil kira hakikat pada masa yang sama, terdapat ribuan mahasiswa daripada keluarga berkemampuan menikmati subsidi yuran yang begitu tinggi, terutamanya di universiti tertentu yang kadar yurannya jauh lebih rendah daripada universiti lain, ia sudah menjadi isu ketidakadilan sosial.
Sementara itu, mahasiswa miskin, termasuk golongan bumiputera di universiti awam lain terpaksa bergelut dengan yuran lebih tinggi, kos sara hidup meningkat, dan pinjaman yang tidak mencukupi. Lebih ironik, penyelesaian yang sering diangkat hanyalah meningkatkan kadar pinjaman PTPTN, seolah-olah menambah hutang adalah jalan keluar kepada kemiskinan.
Subsidi pendidikan sepatutnya berfungsi sebagai alat keadilan sosial, membantu mereka yang memerlukan untuk mendapat akses yang sama rata kepada pendidikan. Namun begitu, apabila subsidi diberikan secara semberono, lebih-lebih lagi tanpa mengambil kira latar belakang ekonomi, ia akhirnya menjadi regresif.
Dalam erti kata lain, negara secara tidak langsung mensubsidi kesenangan pelajar kaya. Hal ini bukan sahaja tidak adil, malah membazir sumber yang sepatutnya boleh digunakan untuk mengurangkan beban mahasiswa miskin. Dalam keadaan fiskal yang dikatakan terhad, setiap ringgit subsidi perlu disasarkan dengan tepat, bukannya diagihkan secara sama rata kepada semua tanpa mengira keperluan.
Sudah tiba masanya untuk reformasi berani. Pertama sekali, potong subsidi yuran bagi pelajar dari golongan berpendapatan tinggi. Hal ini bukan bermaksud menafikan hak pendidikan, tetapi memastikan mereka membayar mengikut kemampuan sebenar.
Cadangan ini malah telah “dipersetujui” oleh kerajaan sebelum ini. Kini, terutamanya apabila mahasiswa berkemungkinan besar terkesan teruk akibat konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, merupakan masa yang sesuai untuk melaksanakan cadangan terbabit.
Kedua, salurkan semula penjimatan tersebut kepada mahasiswa miskin di universiti awam lain. Kenakan yuran pada “kadar UiTM” kepada semua pelajar susah tanpa mengira universiti. Pendidikan awam tidak sepatutnya mempunyai diskriminasi berdasarkan institusi. Hal ini sedikit sebanyak bakal mengurangkan kadar potongan pinjaman PTPTN bagi tujuan yuran.
Walau bagaimanapun, isu yuran hanyalah sebahagian daripada masalah. Kos sara hidup mahasiswa terus melonjak — sewa rumah tidak dikawal, harga makanan meningkat, dan bantuan langsung masih tidak mencukupi. Dalam konteks ini, sistem merit kolej kediaman menjadi satu lagi beban tersembunyi. Mahasiswa yang memerlukan kolej seringkali dinafikan kolej kediaman kerana tidak mempunyai “merit” yang memadai, sedangkan proses pengumpulannya sendiri tidak adil.
Akhirnya, mereka perlu menyewa, sementara mahasiswa berkemampuan duduk di kolej yang mempunyai kos yang lebih rendah. Perkara ini sudah tentu mengakibatkan peningkatan kos sara hidup yang memerlukan penambahan kadar penajaan pendidikan tinggi. Jika sistem pengagihan kolej dikaji semula, sebahagian besar tekanan kewangan boleh dikurangkan tanpa perlu menambah kadar pinjaman PTPTN.
Wacana semasa terlalu terperangkap dalam logik “tambahkan pinjaman untuk selesaikan masalah.” Ini pendekatan malas yang mengabaikan realiti bahawa mahasiswa miskin memerlukan sokongan, bukan hutang tambahan. Selagi sistem terus membenarkan pelajar kaya hidup selesa dengan subsidi, sementara mahasiswa miskin bergelut untuk bertahan, selagi itulah kita gagal memahami makna sebenar keadilan dalam pendidikan.
Memotong subsidi pelajar kaya untuk memperkukuh sokongan kepada mahasiswa miskin bukanlah satu bentuk hukuman, sebaliknya pembetulan kepada ketidakseimbangan yang telah lama dibiarkan. Mahasiswa tidak sepatutnya sekadar “survive.” Mereka berhak untuk hidup, belajar, dan berkembang dengan bermaruah.
Mustaqim Badrul Hisham,
Graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM).
















