JIM Johor menahan empat warga China dan merampas 13 pasport dalam serbuan di kawasan Bayu Puteri, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan empat warga China dan merampas 13 pasport dalam serbuan di kawasan Bayu Puteri di sini, semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berumur dalam lingkungan 43 tahun hingga 57 tahun.

“Seorang daripada mereka iaitu lelaki dewasa warganegara China menggunakan pasport antrabangsa Mexico palsu untuk masuk dan tinggal di negara ini.

“Penggeledahan dalam premis kediaman mereka menemukan 13 pasport antarabangsa pelbagai negara seperti Hong Kong, China dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka disyaki bekerja di sebuah pusat rekreasi yang sedang dalam proses pembinaan dalam kawasan kelab golf sekitar Johor Bahru.

Katanya, semua yang ditangkap ditahan reman selama 14 hari kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1) (c), dan Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 dan juga Akta Pasport 1966 untuk tujuan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata, JIM Johor komited untuk terus menggiatkan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ejen yang menjadi dalang pemalsuan dokumen.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast