pinjaman Felcra
FELCRA Berhad

KUALA LUMPUR  – FELCRA Berhad menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60 dengan iltizam mahu memperkukuh peranan sebagai peneraju pembangunan luar bandar.

Pihaknya akan memfokuskan kepada pemerkasaan peserta, keterjaminan makanan dan transformasi agroekonomi yang mampan.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1966, FELCRA kini berdiri sebagai institusi strategik negara yang bukan sekadar memacu pembangunan tanah malah membina ekosistem sosioekonomi luar bandar yang komprehensif melibatkan lebih 104,000 orang peserta secara inklusif.

Pengerusi FELCRA,  Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, menegaskan pengiktirafan sebagai strategic nation builder merupakan satu tanggungjawab besar bagi memastikan agensi tersebut kekal relevan dan terus mengangkat martabat komuniti luar bandar sebagai penyumbang utama kepada kemakmuran negara.

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

“Pengiktirafan sebagai strategic nation builder ini bukan sekadar satu gelaran tetapi satu tanggungjawab besar untuk memastikan FELCRA terus relevan, progresif dan menjadi institusi yang dihormati serta diyakini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Mohamed Ismi Abdul Majid menjelaskan, syarikat kini memberi tumpuan serius terhadap agenda keterjaminan makanan melalui penggunaan teknologi moden dan amalan pertanian terbaik bagi mengoptimumkan hasil ladang.

Selain memperkukuh rantaian nilai sektor agromakanan yang merangkumi pengeluaran hingga pemasaran, FELCRA turut meneroka bidang tenaga boleh baharu melalui industri biogas yang menggunakan konsep waste to wealth.

Melalui pendekatan yang bertemakan ‘membina kehidupan, menjamin masa depan”, FELCRA komited untuk memastikan setiap inisiatif yang dijalankan dapat memberi manfaat yang berpanjangan kepada generasi masa kini serta akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast