HONG KONG – Harga minyak melonjak manakala pasaran saham merosot pada Khamis selepas Donald Trump menegaskan tentera Amerika Syarikat akan terus menggempur Iran selama dua hingga tiga minggu lagi.
Pada masa sama, beliau tidak menawarkan sebarang penyelesaian terhadap penutupan Selat Hormuz yang telah melumpuhkan pasaran global.
Pelabur dilihat tidak teruja dengan ucapan perdana presiden AS itu kepada negara sejak perang bermula, yang mana beliau sekali lagi menggesa negara yang bergantung kepada laluan tersebut untuk bekalan tenaga supaya membuka semula laluan itu sendiri.
Ucapan Trump tidak banyak menambah daripada kenyataan sebelumnya, dengan amaran “dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, kita akan membawa mereka kembali ke Zaman Batu – keadaan sepatutnya Iran sepatutnya berada.”
Beliau juga memaklumkan, tentera AS akan mencapai semua objektif di medan perang “dalam masa yang sangat singkat.”
Ucapan tersebut menjejaskan pemulihan awal pasaran dunia yang sebelum ini didorong oleh kenyataan Trump minggu ini bahawa perang akan berakhir “tidak lama lagi”, manakala rakan sejawatnya dari Iran berkata negaranya mempunyai “keazaman yang diperlukan” untuk menamatkannya.
Minyak mentah Brent, yang sebelum ini jatuh di bawah AS$100 setong pada Rabu, melonjak hampir tujuh peratus kepada AS$108.15, manakala West Texas Intermediate meningkat lebih enam peratus kepada setinggi AS$106.75.
Trump “bercakap tentang objektif yang dicapai, tetapi bukan penyelesaian. Tentang serangan berterusan, bukan pengunduran. Tentang peningkatan pilihan, bukan penamatan.
“Ini bukan mesej panik, tetapi jelas menunjukkan urusan belum selesai. Dalam pasaran, urusan yang belum selesai adalah ‘oksigen’ kepada ketidaktentuan.
“Jadi minyak bertindak seperti biasa apabila ilusi runtuh. Ia melonjak bukan kerana perang tiba-tiba bertambah buruk, tetapi kerana pasaran terlalu awal mengandaikan ia akan berakhir,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management.
Reaksi dalam kalangan pedagang ekuiti juga tidak memberangsangkan, dengan Seoul — yang melonjak lebih lapan peratus pada Rabu — merosot lebih empat peratus.
Tokyo, Hong Kong, Shanghai, Mumbai, Singapura, Taipei, Bangkok, Jakarta dan Sydney turut mencatat penurunan, begitu juga London, Paris dan Frankfurt.
Michael Brown dari Pepperstone berkata, pelabur “mengharapkan lebih daripada apa yang disampaikan presiden” dan beliau “gagal memberikan garis masa yang jelas untuk menamatkan konflik”.
“Beberapa hari kebelakangan ini membuktikan bahawa aset berisiko bertindak seperti spring yang tegang, bersedia melonjak hanya dengan sedikit petanda berita baik.
“Namun beliau menambah bahawa “perang masih belum berakhir, bekalan komoditi terus mengetat, dan implikasi makroekonomi penuh hanya akan jelas dalam tempoh masa akan dating”,” kata beliau lagi.
Pasaran telah mengalami turun naik besar sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari, dengan Trump sering membuat pusingan U selepas mengumumkan dasar, khususnya berkaitan hubungan luar dan operasi ketenteraan.
Pengumuman beliau bahawa Washington dan Tehran sedang berbincang damai sering dinafikan oleh republik Islam itu, yang menegaskan Selat Hormuz akan kekal ditutup kepada “musuh” negara tersebut.
Desakan berulang Trump supaya negara yang bergantung kepada tenaga melalui Hormuz “dapatkan minyak sendiri” hadir ketika Keir Starmer bersiap untuk menjadi tuan rumah mesyuarat kira-kira 35 negara pada Khamis bagi membincangkan cara membuka semula laluan tersebut.
Mesyuarat itu akan “menilai semua langkah diplomatik dan politik yang berdaya maju untuk memulihkan kebebasan pelayaran, menjamin keselamatan kapal dan pelaut yang terperangkap serta menyambung semula pergerakan komoditi penting,” kata Starmer.
Pengarah Urusan Bank Dunia, Paschal Donohoe berkata, beliau bimbang terhadap kesan global krisis tersebut.
“Kami amat bimbang tentang kesannya terhadap inflasi, pekerjaan dan keterjaminan makanan,” katanya kepada AFP ketika Bank Dunia mengumumkan kerjasama baharu dengan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Agensi Tenaga Antarabangsa bagi menyelaras respons bantuan.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, dalam cadangan bajet tambahan bernilai AS$17.2 bilion untuk menangani krisis, memberi amaran bahawa kerajaan “mengendalikan ekonomi seperti dalam keadaan perang”. – Agensi
















