KUALA LUMPUR – Berikutan konflik di Asia Barat, kerajaan telah bersetuju supaya pegawai perkhidmatan awam Persekutuan untuk melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat sebagai langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global.
Pelaksanaan BDR ini berkuat kuasa mulai 15 April ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, pelaksanaan BDR diperuntukkan bagi pegawai yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta semua ibu negeri melibatkan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer.
Bagaimanapun, sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan dan pendidikan dikecualikan.
Menurutnya, bagi negeri-negeri yang Hari Kelepasan Mingguan (HKM) adalah hari Ahad, BDR adalah pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
BDR pada hari Isnin dan Jumaat tidak dibenarkan.
Manakala bagi negeri-negeri HKM pada hari Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu), BDR adalah pada Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari.
Pegawai yang berkhidmat tidak dibenarkan BDR pada Ahad dan Khamis.
JPA berkata, tempat bekerja pegawai semasa BDR ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.
“Pegawai dikehendaki menggunakan SPOT-Me yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.
“Pegawai hendaklah mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan Ketua Jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai,” katanya.
Ketua Jabatan perlu mengenal pasti output bagi setiap pegawai yang BDR dan hendaklah menyemak serta mengesahkan secara berkala sasaran kerja dan output yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette
















