PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) berjaya melakukan 3,523 tangkapan merangkumi kes-kes berprofil tinggi seperti Ops Samba 2.0, Ops Taufan, Ops Yellow, Ops Counter Setting dan Ops Bunga sepanjang 2023 hingga 2025.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia mencerminkan keupayaan sebenar negara dalam membanteras jenayah rasuah dan jenayah kewangan secara bersepadu.
“Lebih penting, kejayaan membongkar sindiket terancang berskala besar melalui operasi seperti Ops White, Ops Kingfruit, Ops X, Ops Sikaro, Ops Metal, Ops Karen dan Ops Grip.
“Ia membuktikan pendekatan MATF mampu menembusi rangkaian jenayah yang kompleks, tersusun dan merentasi pelbagai sektor,” katanya berucap merasmikan Sesi Libat Urus MATF: Way Forward di ibu pejabat SPRM hari ini.
Azam berkata, SPRM melakukan sitaan mencecah RM6.87 bilion pada 2025, selain pembekuan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian melibatkan nilai besar dan memberi impak langsung kepada hasil negara.
“Ini adalah mesej jelas bahawa setiap hasil yang diseleweng akan kita jejaki dan kembalikan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, SPRM juga mengetuai pelaksanaan operasi berimpak tinggi seperti Operasi 82S, Ops Tropicana, Ops Eagle dan Ops Liter.
“Ini menunjukkan pendekatan whole-of-government bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam menghadapi landskap jenayah masa kini.
“Apabila agensi bergerak secara bersepadu, berkongsi maklumat dan bertindak secara kolektif, kita bukan sahaja mampu mengekang jenayah, tetapi menghancurkan keseluruhan ekosistem sindiket tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















