Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin menyifatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sedang menerima ‘kifarah’ terhadap peranannya sebagai arkitek strategi Langkah Kajang lebih sedekad lalu.

Menurut Faekah, walaupun Rafizi tidak mengaku bersalah, sekurang-kurangnya beliau kini didakwa merasai apa yang pernah dilalui bekas Menteri Besar Selangor itu apabila diketepikan parti pada 2014.

“Langkah Kajang memang jijik tetapi ia tidak akan terjadi seandainya tidak mendapat restu dari pucuk pimpinan dan sekiranya pucuk pimpinan bersifat adil serta jujur.

“Sejujurnya selepas Langkah Kajang saya tidak menghormati mahupun meletakkan harapan yang tinggi kepada Rafizi kerana Langkah Kajang merupakan titik tolak kepada pengkhianatan terhadap prinsip keadilan yang diperjuangkan PKR sejak penubuhannya pada 4 April 1999.

“Ia terlakar sebagai sejarah paling hitam di dalam politik dan pentadbiran negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faekah Husin
Faekah Husin

Faekah turut mendakwa Allahyarham Khalid pernah diarah dan diugut supaya menarik diri daripada pertandingan jawatan timbalan presiden bagi memberi laluan mudah kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti itu pada 2010.

“Saya sebut di sini hanya untuk menunjukkan percaturan dan campur tangan secara jijik memang diamalkan di dalam PKR dan bukan suatu yang asing.

“Kifarah tidak berlaku kepada sesetengah orang sahaja, siapa tahu, mungkin selepas ini Nurul Izzah atau mungkin Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sendiri.

“Cuma bezanya Almarhum Tan Sri Khalid masih boleh menunjukkan serta mempertahankan kejayaan program dan polisi yang dilakukannya ketika mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar,” katanya.

Sebaliknya, kata Faekah, Rafizi didakwa belum sempat menghasilkan sesuatu yang signifikan dan memberi kesan besar kepada rakyat.

“Kedudukan Rafizi sangat bergantung kepada langkah yang beliau ambil selepas ini; adakah dia akan tunduk dan akhirnya buat deal dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau dia tetap berpegang kepada prinsip dia sekarang.

“Sebagaimana kebanyakan rakyat, saya mengambil sikap tunggu dan lihat,” katanya.

Untuk rekod, Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR pada 9 Ogos 2014, berkuat kuasa serta-merta, kerana mengingkari arahan parti untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Pemecatan ini berpunca daripada keengganan beliau memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyebabkan beliau menjadi ADUN bebas yang memimpin Selangor buat sementara waktu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast