Rahmad Mariman

MELAKA – Dua syarikat melibatkan pengeluar kopi dan biskut di negeri ini diarahkan menarik balik semua produk dari pasaran selepas sijil halal mereka ditarik kerana disyaki menggunakan berus bulu yang mempunyai ciri fizikal bulu babi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan itu dikeluarkan susulan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berjaya mengesan ketidakpatuhan serius terhadap piawaian pensijilan halal dalam pemeriksaan dijalankan.

Menurutnya, ia sekali gus menjadi kes pertama Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat ditarik balik melibatkan penggunaan berus bulu babi tahun ini.

Semalam, portal rasmi di bawah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Malaysia melaporkan dua buah syarikat beralamat di Melaka, Heng Loong Coffee Sdn Bhd dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd tersenarai dengan status “Sijil Telah Ditarik Balik”.

“Selain penarikan SPHM kedua-dua syarikat turut diarahkan menghentikan penggunaan logo halal Malaysia serta menarik balik semua produk yang telah dikeluarkan di pasaran.

“Mereka juga perlu melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan ditetapkan sebelum sebarang permohonan semula boleh dipertimbangkan,” kata Rahmad dalam kenyataannya hari ini.

Premis memproses kopi dan biskut di Melaka yang dipercayai menggunakan berus bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan ditarik semula sijil halalnya.
Gambar – Ihsan JAIM

Menurut beliau, tindakan itu penting bagi memastikan semua peralatan yang digunakan dalam rantaian pengeluaran benar-benar bebas daripada unsur haram atau syubhah yang menjadi prinsip asas dalam pensijilan halal.

“Perkara ini memerlukan tindakan lanjut memandangkan ia turut melibatkan implikasi pencemaran najis mughallazah, justeru pematuhan ketat perlu dilaksanakan sebelum kelulusan semula boleh diberikan.

“Tindakan ini selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (Pindaan) di bawah klausa ketidakakuran serius berkaitan syariah, khususnya melibatkan penggunaan peralatan tidak halal dalam rantaian pengeluaran,” katanya.

Pemeriksaan halal dilakukan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Januari lalu mendapati pekerja kilang kopi dan biskut itu menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk membersihkan peralatan kilang.
Gambar – Ihsan JAIM

Tambah beliau, tindakan tegas itu diambil selepas sampel berus yang digunakan di premis berkenaan dianalisis oleh Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) dan disahkan mempunyai ciri-ciri fizikal bulu babi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pematuhan terhadap piawaian halal bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan kepercayaan pengguna.

“Pensijilan halal sangat berkait rapat dengan kepercayaan pengguna.

“Sebab itu JAIM sentiasa melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap produk yang diperakui benar-benar bersih, selamat dan mematuhi syariah,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuat semakan status halal melalui portal rasmi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan.

“Jika ragu-ragu, buat semakan sendiri dengan menaip ‘Halal Malaysia Portal’, masukkan carian produk seperti ‘Coffee’, pilih negeri Melaka serta kategori ‘Produk Makanan dan Minuman’ sebelum melihat senarai syarikat yang masih sah atau telah ditarik sijil halalnya.

“Dengan cara ini, pengguna boleh membuat pilihan tepat tanpa bergantung kepada maklumat tidak sahih,” katanya.

Tambahnya, JAIM akan terus memperkukuh pemantauan serta membimbing pemegang SPHM bagi memastikan sistem pensijilan halal kekal diyakini dan mampan khususnya di Melaka.

1 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan premis memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik sijil halal selepas dipercayai menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan.

Keputusan itu dibuat selepas analisis oleh MyHAC pada Mac lalu mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi, sekali gus melanggar piawaian SPHM.

Kejadian terbongkar selepas pemeriksaan halal dilakukan Bahagian Pengurusan Halal, JAIM Januari lalu mendapati pekerjanya menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk membersihkan peralatan kilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast