Halal Malaysia, sebuah portal rasmi Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendedahkan senarai sembilan produk kopi yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

MELAKA – Halal Malaysia, sebuah portal rasmi Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendedahkan senarai sembilan produk kopi yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Kesemua produk itu dikeluarkan Heng Loong Coffee Sdn Bhd yang beralamat di Taman Tanjung Minyak di sini yang disyaki menggunakan berus bulu yang mempunyai ciri fizikal bulu babi untuk pembersihan alat di premis berkenaan.

Menurut portal itu, sembilan produk terbabit ialah Coffee Mixture atau kopi campuran menggunakan jenama Heng Loong Coffee.

“Selain itu adalah jenama Cap Cikgu merangkumi kopi pracampur segera 3 dalam 1, Kopi ‘O’ 2 in 1, Kopi Campuran, Kopi Cikgu Kopi Campuran, Kopi Kaw Kopi O Bag serta Serbuk Kopi Campuran.

Premis memproses kopi dan biskut di Melaka yang dipercayai menggunakan berus bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan ditarik semula sijil halalnya.
Gambar – Ihsan JAIM

“Heng Loong Coffee/Cap Cikgu turut melibatkan produk Kopi O Bag yang disenaraikan di bawah kedua-dua jenama tersebut.

“Selain itu, Cap Penyu Kow melibatkan produk Penyu Kow Kopi O Bag (uncang kopi campuran),” demikian menurut Halal Malaysia.

Untuk rekod, portal Halal Malaysia myehalal.halal.gov.my/portal-halal boleh diakses orang ramai untuk semakan status halal bagi produk, premis makanan dan perkhidmatan, memeriksa logo halal dan ketulenan produk.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan dua syarikat melibatkan pengeluar kopi dan biskut di negeri itu diarahkan menarik balik semua produk dari pasaran selepas sijil halal mereka ditarik kerana disyaki menggunakan berus bulu yang mempunyai ciri fizikal bulu babi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan itu dikeluarkan susulan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berjaya mengesan ketidakpatuhan serius terhadap piawaian pensijilan halal dalam pemeriksaan dijalankan.

Berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk proses pembersihan peralatan dirampas untuk diperiksa Pusat Analisis Halal Malaysia sebelum hasil keputusan analisis pada mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri-ciri fizikal bulu babi menyebabkan sijil halal SPHM kilang itu ditarik serta-merta.
Gambar – Ihsan JAIM

Dua syarikat terbabit adalah Heng Loong Coffee dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd yang tersenarai dengan status “Sijil Telah Ditarik Balik” menerusi portal Halal Malaysia.

Pada 1 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan premis memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik sijil halal selepas dipercayai menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi dalam operasi pembersihan peralatan.

Keputusan itu dibuat selepas analisis oleh MyHAC pada Mac lalu mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi, sekali gus melanggar piawaian SPHM.

Kejadian terbongkar selepas pemeriksaan halal dilakukan Bahagian Pengurusan Halal, JAIM Januari lalu mendapati pekerjanya menggunakan berus diperbuat daripada bulu haiwan untuk membersihkan peralatan kilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast