GEORGE TOWN – Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) oleh kerajaan dilihat sebagai langkah strategik dalam mendepani ketidaktentuan bekalan tenaga global, sekali gus mencerminkan anjakan pendekatan pentadbiran yang lebih fleksibel.
Dua sarjana Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Hipolitus Y.R. Wangge dan Dr. Law Chee Hong dalam kenyataan bersama berkata, dasar itu perlu dilihat sebagai sebahagian penyesuaian struktur ekonomi dan sosial yang lebih luas selaras dengan cabaran semasa di peringkat global dan serantau.
Menurut mereka, pendekatan BDR menunjukkan kematangan tadbir urus apabila beralih daripada kawalan ketat kepada pendekatan anjal yang membolehkan institusi menyesuaikan pelaksanaan mengikut keperluan masing-masing.
“Perbezaan utama pelaksanaan semasa berbanding ketika pandemik COVID-19 adalah dari segi sifatnya yang tidak lagi mandatori dan lebih fleksibel.
“Jika sebelum ini pelaksanaan bersifat menyeluruh, kini pendekatan lebih anjal dan tidak memaksa.
“Fleksibiliti ini membolehkan sektor awam dan swasta merangka mekanisme pelaksanaan yang lebih sesuai, sekali gus mengurangkan risiko terhadap produktiviti dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Mengulas dari sudut makroekonomi, mereka berkata, pengurangan penggunaan bahan api menjadi pemacu utama pelaksanaan dasar tersebut.
“Dengan mengurangkan keperluan perjalanan harian, kerajaan dapat mengawal perbelanjaan subsidi bahan api serta memperkukuh kedudukan fiskal negara.
“Langkah ini juga membuka ruang kepada penyaluran bantuan lebih bersasar kepada sektor dan golongan yang terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik global,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, mereka juga menyifatkan pelaksanaan BDR turut berdepan cabaran termasuk persekitaran rumah yang tidak kondusif, tanggungjawab keluarga serta tahap kesiapsiagaan digital yang berbeza.
“Sokongan dari segi infrastruktur digital, pengurusan organisasi dan kesejahteraan pekerja penting bagi memastikan dasar tersebut mencapai matlamatnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















