KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM100,000 bagi mempertimbangkan rayuan pengecualian penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang berkot hitam kelihatan tenang sebelum menjawab tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Wan Abdul Latiff, 58, didakwa menerima wang suapan daripada pengarah Sunrich Conquest Sdn Bhd, Khor Chong Hai melalui pengurus projek syarikat itu, Lee Ham Kong di pejabatnya di Putrajaya pada 15 Januari 2025.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mempertimbangkan rayuan pengecualian EIA berkaitan permohonan kebenaran merancang bagi cadangan membina jalan berkembar Bukit Kukus serta kerja tanah mitigasi di atas tanah kerajaan di Jalan Bukit Kukus, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Paya Terubong, Pulau Pinang.
Permohonan tersebut dikemukakan oleh Geo Valley Sdn Bhd menerusi surat bertarikh 22 November 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib hari ini.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Mohd Firdaus Ahmad memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 29 Januari lalu sebelum dibebaskan lebih awal pada 3 Februari, selain hadir semula memberi keterangan pada 2 Mac.
Peguam turut memaklumkan tertuduh mempunyai tiga anak termasuk dua yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi selain isterinya tidak bekerja.
Selain itu, tertuduh juga dilaporkan menghidap diabetes dan darah tinggi serta sedang menjalani rawatan.
Pembelaan berhujah jaminan tidak seharusnya bersifat menghukum, sebaliknya bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan kesalahan itu serius memandangkan tertuduh merupakan penjawat awam kanan serta melibatkan kepentingan awam.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Hakim turut memerintahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Mei depan. -MalaysiaGazette
















