MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta dalam keadaan mabuk, Februari lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, turut mengarahkan lesen memandu tertuduh, K Haridass Nair, 45, digantung selama dua tahun selepas menerima pengakuan salahnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu kereta dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 108 (mg) per 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 58 mg daripada had ditetapkan iaitu 50 mg.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Parameswara di sini, kira-kira jam 2.30 pagi pada 7 Februari 2026, yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000).
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kerana kesalahan mabuk telah menyebabkan banyak nyawa terkorban
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja kilang.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bermula tarikh sabitan hari ini dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar serta hilang kelayakan memandu selama dua tahun. – MalaysiaGazette
















