Seorang lelaki disyaki terlibat berdasarkan rakaman yang tersebar. - Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian gangguan seksual di Gate A MRT Kajang Line, susulan penularan video berdurasi 23 saat di aplikasi Threads.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada Khamis sekitar jam 9 pagi. 

Siasatan di lokasi mendapati seorang lelaki disyaki terlibat berdasarkan rakaman yang tersebar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat, Sjn Nor Atiqah Anuar di 013-7948922,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam masa sama, orang awam dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan video tular yang boleh mengganggu ketenteraman awam. 

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penyebar kandungan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast