Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 MAC 2026

KUALA LUMPUR – PKR Cabang Bukit Bintang menggesa bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya melakukan muhasabah diri sebelum terus menyerang parti sendiri susulan kenyataan dan kritikan terbuka yang dilihat semakin berterusan sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Anwar Pawan Chik berkata, tindakan Rafizi yang kerap mengkritik kepimpinan parti menggambarkan sikap “hati tisu” apabila ditegur atau dikritik, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kematangannya sebagai pemimpin kanan parti.

“Beliau memilih untuk menyerang kembali daripada bermuhasabah terhadap rekod sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepanjang berada dalam Kabinet sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi diberi ruang luas untuk menterjemahkan idea kepada dasar ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat, namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

Namun katanya, “selepas beberapa tahun, tidak banyak hasil dasar yang boleh dikaitkan secara jelas dengan peningkatan ketara pendapatan isi rumah.”

Anwar turut mendakwa beberapa inisiatif besar yang diperkenalkan termasuk Pangkalan Data Utama (PADU) serta projek mesin layan diri bernilai ratusan juta ringgit gagal menunjukkan impak yang konsisten seperti diuar-uarkan sebelum ini.

“Walaupun menelan kos melebihi RM85 juta, PADU akhirnya tersisih sebagai sistem penyasaran subsidi dan digantikan dengan Budi 95 yang lebih komprehensif dan memudahkan urusan rakyat.

“Lebih mengecewakan, Rafizi Ramli pada ketika itu terus menekan rakyat untuk wajib mendaftar, sehingga ugutan tak akan dapat bantuan kerajaan seolah-olah nasib rakyat bergantung sepenuhnya kepada sistem tersebut,” katanya lagi.

Beliau turut mendakwa tindakan menekan rakyat untuk mendaftar PADU sehingga timbul persepsi bantuan kerajaan mungkin tidak diberikan mencetuskan kemarahan awam serta menghakis keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan.

“Taktik menakut-nakutkan bukan sahaja mencetuskan kemarahan, malah menimbulkan persoalan serius terhadap kepercayaan rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan isu siasatan berkaitan dakwaan skandal pelaburan ARM bernilai RM1.12 bilion yang didakwa melibatkan bekas pegawai pejabat Rafizi, selain mempersoalkan ketiadaan penjelasan terbuka setakat ini.

Malah, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menanggung kos penerbangan seorang bekas pembantu untuk pulang membantu siasatan, namun sehingga kini masih tiada penjelasan diberikan.

Ujarnya, keputusan pemilihan parti yang menyaksikan Rafizi memperoleh kurang daripada 28 peratus undian ahli turut menunjukkan sokongan dalaman yang semakin merosot dan tidak sekuat seperti digambarkan.

“Realitinya sokongan dalaman tidak sekuat seperti yang digambarkan.

“PKR tidak terbina oleh retorik atau populariti Rafizi Ramli. Ia dibina atas kerja, disiplin dan keupayaan melaksanakan amanah bersama lebih sejuta anggota PKR di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast