SHAH ALAM – Balu penghantar barang (P-Hailing) yang maut dirempuh pemandu mabuk, Nor Nadia Abdul Majid berhasrat untuk memulakan perniagaan pakaian terpakai (bundle) menggunakan Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) arwah suaminya.
Nadia berkata, caruman PERKESO Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang dibuat majikan suaminya selama 15 tahun memberi harapan baharu kepada dia dan tiga anaknya untuk memulakan hidup baharu di kampung halaman kelak.
“Saya rasa syukur, Alhamdulillah bantuan mencecah RM3,000 untuk saya dan anak-anak agak mencukupi, boleh menstabilkan hidup kami di kampung. Kalau hidup di Shah Alam mungkin susah sikitlah.
“Saya fikir nak berniaga sendiri sebab ada lebih masa untuk bersama anak-anak. Saya berminat berniaga bundle. Itu perancangan saya.
“Tak naklah terlalu kerja kuat sangat sampai anak-anak ini tak dapat perhatian saya, nanti mereka rasa kesunyian, ayah tak ada, mama pula sibuk dengan kerja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16, di sini, hari ini.

Rabu lalu, seorang pembantu makmal swasta yang memandu kereta Honda City dalam keadaan mabuk merempuh penghantar barang itu di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret Klang.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada suspek, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khartiyayini Ambualagan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz di Jalan Raya Barat, kira-kira jam 11.47 pagi, pada 29 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Amirul Hafiz meninggalkan seorang balu, Nor Nadia, 32 serta tiga anak iaitu Muhammad Agif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2.

Nor Nadia juga mengakui dia kini terpaksa memikul semua tanggungjawab arwah suaminya, daripada menguruskan persekolahan dua anaknya hingga ke urusan pertukaran sekolah di kampung nanti.
“Jujurlah saya katakan sebelum ini semua arwah yang uruskan, persekolahan, pergi daftar sekolah agama hinggalah urusan ambil kad laporan sekolah.
“Waima jamuan sekolah anak sulong pun Arwah yang ambil berat dan minta saya sediakan makanan untuk dibawa ke sekolah.
“Jadi sekarang dia dah tak ada, saya kena ambillah semua tanggungjawab. Banyak perkara saya tak tahu pun, sekarang saya kena ambil tahu juga,” katanya.
Nadia tidak menyangka bantuan yang diterimanya mencurah-curah sedangkan kejadian tragis itu berlaku Ahad lalu, kurang seminggu PERKESO pula menyerahkan bantuan Pencen Penakat.
“Saya rasa terlalu laju proses (tuntutan) PERKESO ini. Dengan khairat kematian yang berjumlah RM3,000 dan ia sangat membantulah kami sekeluarga.
“Memang PERKESO ini menjaga betul semua pencarumnya, termasuk arwah suami saya.
“Saya bersyukur sangat syarikat arwah suami tak pernah culas bayar caruman, betul-betul menjaga kakitangannya,” katanya.
Nadia turut mengingatkan majikan lain mencontohi syarikat arwah suaminya yang bertanggungjawab mencarum dengan PERKESO demi kebajikan dan keselamatan kakitangan.
“Kira berbaloi caruman PERKESO ini, Majikan jangan kedekut bayar caruman kepada pekerja-pekerja mereka. Tak kira lah gaji sikit ke, gaji banyak ke, carumlah untuk kakitangan.
“Itulah pelaburan jugalah esok hari buat waris, sebab yang pergi tetap pergi. Macam saya, ada anak, kena teruskan hidup. Nak teruskan hidup, kena ada duit.
“Memanglah duit tak boleh ganti arwah, nak teruskan hidup, nak besarkan anak-anak perlukan duit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















