KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal (MEH) mahu syarikat yang melanggar syarat disenaraihitamkan dan bukan sekadar ditarik sijil halal.
Setiausaha MEH, Dr Helmi Ibrahim mahu badan agama bertindak keras dan jangan berkompromi dalam isu tersebut.
“Pendedahan kepada umum, tindakan undang-undang tegas selain audit halal perlu diperkasakan.
“Sistem pemantauan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan perlu lebih kerap, telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.
Helmi berkata demikian mengulas isu penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Melaka terhadap sebuah kilang memproses kopi dan biskut yang didapati menggunakan berus daripada bulu babi dalam proses pembersihan peralatan.

Menurut beliau, penggunaan bahan yang jelas haram dalam rantaian pemprosesan makanan mencemarkan status halal produk.
Ia juga menggugat keyakinan pengguna, merosakkan reputasi industri halal Malaysia dan lebih membimbangkan, premis tersebut telah beroperasi lebih 10 tahun dan memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM.
“Persoalan besarnya di mana kawalan dalaman syarikat? Adakah audit halal hanya sekadar tick box?” soalnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















