BAYANGKAN seorang petani keluar seawal pagi untuk ke kebun seperti biasa. Sebelum memulakan kerja, dia singgah ke kedai pertanian untuk membeli baja. Namun, setibanya di sana, dia dimaklumkan stok telah habis. Lebih membimbangkan, harga baja yang bakal tiba dijangka mencecah RM350 bagi setiap 25 kilogram. Dalam sekelip mata, rutin harian bertukar menjadi kebimbangan tentang kos yang semakin menghimpit.
Bagi kebanyakan petani kecil, situasi ini bukan sekadar cabaran biasa, tetapi boleh menentukan sama ada mereka mampu meneruskan musim penanaman seterusnya atau tidak. Kenaikan kos yang mendadak memberi tekanan kepada aliran tunai harian, sekali gus menjejaskan keputusan operasi seperti jumlah penanaman, jenis tanaman dan penggunaan input.
Persoalannya, sejauh mana gangguan rantaian bekalan global sebenarnya sedang menekan sektor pertanian tempatan?
Gangguan rantaian bekalan berlaku apabila aliran input penting seperti baja, bahan kimia dan peralatan tidak lagi stabil akibat faktor luaran seperti konflik geopolitik, sekatan eksport dan peningkatan kos logistik. Dalam situasi semasa, ketegangan di Timur Tengah serta sekatan eksport dari China telah menjejaskan bekalan global dan mendorong kenaikan harga yang ketara.
Data menunjukkan harga baja di Malaysia telah melonjak lebih 120 peratus sejak 2025, selari dengan peningkatan harga urea global sekitar 128 peratus pada 2026. Kenaikan ini bukan sahaja mencerminkan tekanan di peringkat global, malah memberi kesan langsung kepada kos operasi petani tempatan.
Namun, apa yang berlaku di Malaysia sebenarnya mencerminkan trend yang lebih besar di peringkat global. Di banyak negara lain, situasi yang sama turut berlaku apabila harga makanan runcit seperti sayur-sayuran masih kelihatan stabil buat sementara waktu, tetapi kos operasi petani meningkat dengan ketara.
Laporan antarabangsa menunjukkan harga baja global meningkat sekitar 15 peratus pada 2025, dengan beberapa komponen seperti fosfat melonjak lebih 40 peratus akibat permintaan tinggi dan sekatan perdagangan. Pada masa yang sama, kos tenaga, khususnya gas asli yang digunakan dalam pengeluaran baja, turut meningkat dan memberi tekanan berterusan kepada
harga input pertanian.
Walaupun begitu, harga komoditi makanan global dijangka kekal stabil dalam jangka pendek kerana bekalan masih mampu memenuhi permintaan semasa. Namun, kestabilan ini bersifat sementara. Tekanan kos yang berlaku di peringkat input belum sepenuhnya diterjemahkan kepada harga runcit, sekali gus mewujudkan jurang antara kos sebenar dan harga pasaran.
Hakikatnya, keadaan ini telah lama dikenalpasti oleh organisasi antarabangsa. Pertubuhan Makanan dan Pertanian menjelaskan turun naik harga makanan global sering berpunca daripada kos input dan gangguan rantaian bekalan, walaupun harga di pasaran pengguna kelihatan stabil pada peringkat awal.
Lebih membimbangkan, Program Makanan Dunia (WFP) memberi amaran gangguan rantaian bekalan akibat konflik global telah meningkatkan kos penghantaran makanan, dan “cabaran bekalan hari ini adalah krisis kelaparan esok”. Kenyataan ini
menggambarkan bahawa tekanan yang berlaku sekarang berpotensi memberi kesan yang lebih besar dalam jangka panjang.
Bagi Malaysia, kesannya lebih ketara apabila sektor pertanian masih bergantung kepada sumber luar bagi memenuhi keperluan input. Nilai import makanan negara mencecah RM55.5 bilion, merangkumi pelbagai komponen termasuk beras, daging, sayur-sayuran, baja, benih dan racun perosak. Kebergantungan ini menjadikan sistem makanan negara sangat
sensitif terhadap perubahan di pasaran global.
Selain itu, kebergantungan terhadap import bagi bahan sokongan seperti pembungkusan, bekas simpanan dan komponen logistik turut menambah kerumitan dalam operasi rantaian bekalan. Gangguan kecil pada mana-mana komponen ini boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem pengeluaran dan pengedaran.
Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah situasi di peringkat operasi petani. Walaupun harga sayur di pasaran masih kelihatan stabil buat masa ini, kos pengeluaran telah meningkat dengan ketara. Selain kenaikan harga baja, kos diesel yang kini sekitar RM3.87 seliter turut menambah beban bagi pengairan, penggunaan mesin dan pengangkutan hasil.
Dalam konteks operasi, peningkatan kos ini memaksa petani membuat pelarasan segera seperti mengurangkan penggunaan baja, menangguhkan penanaman atau beralih kepada tanaman yang kurang memerlukan input. Walau bagaimanapun, langkah ini sering datang dengan risiko penurunan hasil dan kualiti, sekali gus memberi kesan kepada bekalan makanan.
Menurut Datuk Syed Abd Rahman dari Persatuan Petani Cameron Highlands, “Kos pengeluaran naik mendadak, tetapi harga runcit belum banyak berubah.” Kenyataan ini menunjukkan bahawa petani sedang menyerap tekanan kos buat sementara waktu bagi memastikan bekalan makanan terus sampai ke pasaran. Namun, keadaan ini dijangka tidak akan bertahan lama. Pemerhatian pasaran menunjukkan harga sayur di beberapa kawasan telah mula meningkat antara 20 hingga 30 peratus, dengan risiko kenaikan sehingga 50 peratus dalam tempoh terdekat sekiranya tekanan kos berterusan.
Dari sudut rantaian bekalan, situasi ini mencerminkan tekanan di peringkat hulu, iaitu pada bekalan input pertanian. Apabila kos input meningkat dan bekalan menjadi tidak menentu, keseluruhan sistem pengeluaran menjadi kurang efisien dan lebih terdedah kepada gangguan.
Selain itu, kapasiti sistem untuk menyerap kejutan juga menjadi semakin terhad. Pada peringkat awal, rantaian bekalan masih mampu menampung kenaikan kos melalui pelarasan dalaman. Namun, apabila tekanan berterusan, sistem akan
mencapai had dan kesan tersebut mula mengalir ke peringkat pengguna. Hakikatnya, kestabilan harga sayur pada masa ini hanyalah sementara. Apabila kemampuan petani untuk menyerap kos mencapai had, penyesuaian harga di pasaran tidak
dapat dielakkan. Tekanan di awal rantaian bekalan akhirnya akan mengalir ke pengguna.
Menurut Lim Ser Kwee dari Federation of Vegetable Farmers Associations, petani tidak menuntut subsidi menyeluruh, tetapi memerlukan “sokongan munasabah” bagi menampung peningkatan kos operasi yang semakin tidak seimbang. Tanpa sokongan ini, semakin ramai petani kecil berisiko keluar dari industri kerana tidak mampu menanggung kos yang terus meningkat.
Dalam keadaan ini, pengguna juga bakal berdepan kenaikan harga makanan harian yang sebelum ini dianggap mampu milik. Inflasi makanan yang meningkat sebanyak 1.3 peratus pada Februari 2026 mungkin hanya permulaan kepada tekanan harga yang lebih besar dalam tempoh terdekat. Dalam konteks ini, langkah strategik perlu diberi perhatian bagi memperkukuh ketahanan rantaian bekalan pertanian negara. Antaranya termasuk meningkatkan pengeluaran baja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, serta mempelbagaikan sumber bekalan dari pelbagai negara.
Di samping itu, penambahbaikan sistem logistik domestik perlu dipercepatkan bagi memastikan pengedaran input dan hasil pertanian dapat dilakukan dengan lebih efisien dan kos efektif. Penggunaan teknologi digital dalam pengurusan rantaian bekalan juga boleh membantu meningkatkan keupayaan sistem untuk bertindak balas terhadap perubahan secara lebih pantas.
Selain itu, sokongan kepada petani kecil dan sederhana perlu diperkukuh melalui subsidi bersasar, bantuan kos operasi dan akses kepada teknologi yang lebih efisien. Ini penting bagi memastikan sektor pertanian terus berfungsi sebagai tulang belakang keselamatan makanan negara.
Kesimpulannya, kenaikan harga baja bukan sekadar isu kos di peringkat petani, tetapi mencerminkan tekanan yang lebih besar dalam rantaian bekalan global. Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bahawa sistem makanan negara masih terdedah kepada gangguan luaran. Jika tidak ditangani dengan segera, tekanan ini berpotensi menjadi gelombang kenaikan harga makanan yang lebih besar dalam masa terdekat.

Noor Aslinda Abu Seman
Pensyarah Kanan
Johor Business School
















